KUNAK: Tiga sekeluarga maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah Perodua Viva terbabas sendiri di Kilometer 7, Jalan Kunak-Semporna, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Rejali Ak Angong, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.03 petang ketika kenderaan itu dalam perjalanan dari Kalabakan menuju ke rumah mangsa di Kampung Sungai Langgas.
Menurutnya, Perodua Viva berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan bersama lima penumpang terdiri daripada dua dewasa dan tiga kanak-kanak.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas,” katanya dalam kenyataan srmalam.
Beliau berkata, pemandu bersama dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penumpang mengalami kecederaan parah dan dua lagi cedera ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Omarbatha, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu sebelum tiba di lokasi dan mendapati enam mangsa berada di luar kenderaan.
“Daripada jumlah itu, tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala tiga lagi mengalami kecederaan.
“Tiada operasi menyelamat dijalankan oleh pasukan bomba dan kami hanya mengambil maklumat di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kunak menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, tiga mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai seorang nenek, menantu dan cucu.
Operasi ditamatkan pada jam 7.31 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.



