Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir terhenti lebih 30 minit selepas Koroner Amir Shah Amir Hassan meninggalkan kamar mahkamah susulan suasana tegang ketika prosiding.
Ketegangan tercetus ketika peguam Datuk Ram Singh menyoal Pakar Perunding Psikiatri Dr Wong Haw Huo, saksi ke-75 dalam inkues berkenaan.
Peguam Datuk Ridzwandean Bukhary M. Borhan menyuarakan bantahan terhadap apa yang beliau sifatkan sebagai soalan ‘harsh’ (keras) yang diajukan kepada saksi yang dipanggil oleh pasukan guaman ibu Zara, Noraidah Lamat.
Ram memberitahu mahkamah bahawa pakar lain yang memberi keterangan sebelum ini, termasuk Pakar Patologi Forensik Dr Bhupinder Singh, turut disoal dengan cara yang sama, sebelum meminta mahkamah berlaku adil kepada mereka.
Ram: Jangan gunakan perkataan ‘harsh’ terhadap saya. Sebelum ini, menjelang penghujung (soal jawab), ada juga soalan yang sangat keras. Saya bukan di sini untuk itu. Tetapi perkara ini sangat penting bagi kami. Sangat penting.”
Amir Shah: Tetapi ini adalah inkues, bukan perbicaraan.
Ram: Saya tidak mengatakan ini perbicaraan. Dia (saksi) menjadikannya sedemikian sehingga menyebabkan kami terpaksa menyoal balasnya, tetapi kami bukan menyoal balasnya. Tuan, maksud saya, berlaku adillah kepada kami. Berlaku adillah.
Amir Shah: Adakah saya tidak cukup adil?
Ram: Tuan berlaku adil.
Amir Shah: Adakah saya tidak cukup adil?
Ram: Tidak, Tuan. Janganlah kita terlalu terbawa-bawa dengan perkara ini. Dia (Saksi) berputar-putar dan terus memberi penjelasan.
Amir Shah kemudian meninggalkan kamar mahkamah tanpa memberikan sebarang arahan atau memaklumkan bahawa prosiding ditangguhkan.
Prosiding bersambung semula pada jam 10.50 pagi dengan Ram dan Ridzwandean masing-masing memohon maaf kepada mahkamah. Amir Shah yang menerima permohonan maaf itu juga turut memohon maaf dan meminta agar semua pihak tidak terlalu mengikut emosi dan bertindak lebih professional.
Ram: Sebagai seorang peguam senior, saya tidak berniat untuk menimbulkan sebarang tanggapan seperti yang mungkin difikirkan oleh Tuan atau mereka yang berada di dalam kamar mahkamah ini. Apa yang saya minta hanyalah supaya saksi menjawab soalan secara terus.
Jadi, pertama sekali, saya ingin memohon maaf dengan ikhlas kepada Tuan. Saya tahu kita sudah menghampiri penghujung inkues ini, namun ia masih belum selesai.
Amir Shah: Adakah Datuk cuba menyampaikan secara tidak langsung (insinuate) bahawa mahkamah tidak berlaku adil kepada Datuk?”
Ram: Tidak, jangan gunakan perkataan ‘insinuate’. Tidak sedikit pun perkara itu terlintas dalam fikiran saya. Apa yang saya katakan hanyalah supaya kita semua berlaku adil. Sebagai peguam dalam inkues ini, sudah tentu saya terkejut apabila Tuan beredar sebentar tadi. Saya berharap perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi.
Ridzwandean: Saya juga ingin memohon maaf sekiranya kata-kata saya agak keterlaluan dan saya telah membantah soalan itu. Jadi, saya memohon maaf dengan seikhlasnya.
Amir Shah: Saya yang memohon maaf kepada kamu semua kerana ini adalah kali pertama sepanjang 21 tahun saya berada di kerusi kehakiman saya hilang sabar. Ini kali pertama. Dan ini juga kali pertama saya turun dari tempat duduk, dan rasa sakit dada sikit.
Janganlah kita terlalu emosional. Kita perlu bersikap profesional. Itulah matlamat utama inkues ini.
Datuk Ram, saya menerima permohonan maaf Datuk dan juga Ridzwandean, tetapi dengan peringatan. Saya ingat saya pernah memberikan peringatan ini sebelum ini, bukan? Kita harus menjalankan inkues ini dengan lancar, adil dan profesional.
Adalah penting untuk saksi menjawab dan menjelaskan jawapannya kerana tiada soal balas. Sebagaimana saya boleh berlaku adil kepada kamu, tolong berlaku adil kepada saya juga.



