HomeUtamaDPMS gesa tindakan segera kerajaan tangani tekanan sektor perniagaan

DPMS gesa tindakan segera kerajaan tangani tekanan sektor perniagaan

Read Time:3 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi membantu sektor perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang berdepan tekanan akibat peningkatan kos operasi dan kemerosotan kuasa beli rakyat.

Setiausaha Agung DPMS, Shihan Mohd Salim, berkata peniaga kini berhadapan peningkatan pelbagai kos termasuk sewa premis, gaji pekerja, caruman, cukai, bil elektrik dan utiliti, bahan mentah, pengangkutan, logistik, lesen serta kos pematuhan dan operasi.

Menurutnya, peningkatan kos itu tidak semestinya disertai pertambahan jualan yang setara, menyebabkan peniaga berdepan tekanan daripada dua arah apabila kos meningkat tetapi jualan dan margin keuntungan semakin mengecil.

“Bagi Sabah, cabaran ini lebih ketara disebabkan faktor geografi, jarak perjalanan antara daerah, kos logistik serta kedudukan sebahagian besar masyarakat yang tinggal jauh dari pusat bandar dan kawasan komersial.

“Jika keadaan ini berterusan tanpa intervensi bersesuaian, semakin banyak perniagaan mungkin terpaksa mengecilkan operasi, mengurangkan pekerja atau akhirnya menutup perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, DPMS mengemukakan lapan cadangan kepada kerajaan bagi membantu meringankan tekanan yang dihadapi komuniti perniagaan.

Antaranya ialah meningkatkan kelayakan atau kuota BUDI di Sabah sehingga 500 liter sebulan bagi golongan yang layak, mengambil kira faktor geografi dan kebergantungan penduduk terhadap kenderaan persendirian untuk ke tempat kerja, sekolah, hospital, pekan dan bandar.

DPMS berkata peningkatan kelayakan itu bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat, malah berpotensi menggerakkan semula aktiviti ekonomi di pekan dan bandar apabila kuasa beli masyarakat meningkat.

DPMS turut mencadangkan supaya nilai ambang pelaksanaan mandatori e-Invois dinaikkan kepada perniagaan yang mempunyai jualan atau pendapatan tahunan RM5 juta dan ke atas, manakala perniagaan di bawah nilai itu diberikan pengecualian atau mekanisme pematuhan lebih mudah.

“DPMS menyokong usaha pendigitalan dan peningkatan tadbir urus percukaian negara, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan sebenar PKS yang turut menanggung kos sistem POS, perisian perakaunan, integrasi sistem, latihan kakitangan dan perkhidmatan profesional.

“Prinsipnya mudah, permudahkan dahulu, beri pendidikan dan tempoh penyesuaian, kemudian laksanakan secara berperingkat,” katanya.

Selain itu, DPMS meminta kerajaan mengkaji semula kewajipan caruman KWSP bagi pekerja asing serta kesannya terhadap keseluruhan kos penggajian majikan.

Menurutnya, majikan yang menggaji pekerja asing sudah menanggung pelbagai kos termasuk levi, visa, permit kerja, pemeriksaan kesihatan, insurans, penginapan dan pengurusan tenaga kerja.

DPMS turut mencadangkan supaya sebarang kenaikan gaji minimum pada masa hadapan tidak dilaksanakan secara seragam tanpa mengambil kira kemampuan, produktiviti, jenis pekerjaan dan keadaan ekonomi setiap sektor.

Katanya, sektor restoran, peruncitan, perladangan, pembinaan, perkilangan dan profesional mempunyai tahap produktiviti, margin keuntungan serta struktur kos yang berbeza.

Dalam masa sama, DPMS mencadangkan kerajaan mengkaji model gaji dan keseluruhan kos pekerjaan bagi memberikan keutamaan serta insentif lebih besar kepada pengambilan pekerja tempatan, selain mengambil kira keperluan sektor tertentu terhadap tenaga kerja asing.

DPMS turut menggesa kerajaan mempertimbangkan peluasan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada makanan siap dimakan di restoran dan premis makanan berdaftar yang memenuhi syarat ditetapkan.

Menurutnya, langkah itu dapat membantu golongan seperti warga emas, pekerja, individu bujang dan pelajar yang tidak semestinya memasak di rumah setiap hari, selain merancakkan ekonomi tempatan.

Cadangan lain termasuk pemberian rebat atau insentif tarif elektrik kepada PKS yang layak, khususnya sektor yang mempunyai penggunaan tenaga tinggi tetapi margin keuntungan rendah.

DPMS juga mencadangkan moratorium atau penangguhan terhadap pengenalan kos pematuhan baharu kepada PKS ketika keadaan ekonomi dan kuasa beli masih mencabar.

“Setiap kos mungkin kelihatan kecil apabila dilihat secara berasingan, tetapi apabila digabungkan melibatkan gaji, caruman, sewa, elektrik, air, bahan mentah, pengangkutan, cukai, lesen, sistem digital, perakaunan dan kos pematuhan, jumlah keseluruhannya menjadi beban besar kepada peniaga.

“Kerajaan perlu memastikan setiap dasar baharu melalui penilaian impak terhadap PKS sebelum dilaksanakan,” katanya.

DPMS menegaskan komuniti perniagaan bukan meminta semua tanggungjawab atau kewajipan dihapuskan, sebaliknya memerlukan ruang yang munasabah untuk terus berniaga, berkembang dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Apabila perniagaan berkembang, pekerja mendapat pekerjaan, pembekal mendapat pesanan, pemilik premis mendapat penyewa, kerajaan memperoleh hasil dan wang terus beredar dalam ekonomi.

“Sebaliknya, apabila perniagaan ditutup, kesannya bukan hanya kepada pemilik, malah pekerja kehilangan pekerjaan, pembekal kehilangan pelanggan, pemilik premis kehilangan penyewa dan kerajaan kehilangan hasil,” katanya.

DPMS menggesa tindakan diambil sebelum keadaan menjadi lebih serius dengan memberi tumpuan kepada pemulihan kuasa beli rakyat, kawalan kos menjalankan perniagaan serta pemberian ruang kepada PKS untuk terus beroperasi.

“Apabila rakyat mempunyai wang untuk berbelanja, perniagaan bergerak. Apabila perniagaan bergerak, pekerjaan terjamin dan apabila pekerjaan terjamin, ekonomi Sabah dan negara akan terus berkembang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Inkues Zara: Tulisan tangan selain Zara dikesan dalam jurnal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular