BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dagangan Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi pada Rabu, seiring prestasi kebanyakan pasaran serantau ketika penurunan harga minyak meredakan tekanan inflasi dan memacu minat risiko dengan aktiviti belian menumpukan saham berkaitan YTL dan perbankan, kata penganalisis.
Pada 5 petang, indeks penunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak sebanyak 12.21 mata kepada 1,748.54 mata, berbanding paras penutup Isnin pada 1,736.33 mata.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 3.07 mata pada 1,739.40 mata dan bergerak dalam julat 1,735.70 hingga 1,753.22 mata sepanjang dagangan hari ini.
YTL Power International menyumbang sebanyak 8.21 mata kepada kenaikan indeks dan YTL Corporation menokok 3.23 mata manakala sektor perbankan menyaksikan Maybank menyumbang 3.43 mata, CIMB Group 2.30 mata dan Public Bank sebanyak 1.72 mata.
Secara menyeluruh, kesemua kaunter ini menyumbang sebanyak 19 mata bagi kenaikan indeks komposit.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 777 berbanding 466 manakala 582 kaunter tidak berubah, 1,029 tidak didagangkan dan 49 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 4.17 bilion unit bernilai RM4.23 bilion daripada 3.60 bilion unit bernilai RM3.03 bilion pada Isnin.
Pasaran ditutup semalam bersempena cuti umum Maulidur Rasul.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata walaupun pasaran ditutup positif, pelabur sebaliknya kekal berhati-hati berikutan kenaikan baru-baru ini yang sebahagian besarnya didorong oleh beberapa saham wajaran tinggi indeks ketika pasaran secara meluas masih kekurangan pemangkin yang kukuh.
Berikutan itu, beliau menyifatkan sentimen dalam tempoh terdekat akan kekal sensitif dengan tumpuan kepada pendapatan Nvidia serta perkembangan berkaitan Selat Hormuz dan sebarang rundingan yang buntu hanya berpotensi mencetuskan ketidaktentuan baharu dalam harga minyak mentah.
“Bagaimanapun, minat belian berterusan dalam saham wajaran tinggi sektor perbankan selain asas-asas domestik yang berdaya tahan, dijangkakan dapat menyuntik sokongan.
“Berikutan itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam julat 1,735 hingga 1,755 mata bagi tempoh berbaki minggu ini,” katanya kepada Bernama.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik 16 sen kepada RM10.72, Public Bank untung lima sen kepada RM5.15, CIMB Bank meraih 12 sen kepada RM8.08, IHH Healthcare menokok lapan sen kepada RM8.23 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.30.
YTL Power International untung 53 sen kepada RM5.90 dan YTL Corporation menambah 16 sen kepada RM2.58.
Bagi kaunter paling aktif, NationGate meraih 21 sen kepada RM1.70, Zetrix AI naik setengah sen kepada 66 sen, Oppstar menambah 11 sen kepada 81 sen, Ni Hsin menokok 3.5 sen kepada 18 sen, VS Industry meningkat setengah sen kepada 22.5 sen dan KPJ Healthcare susut 10 sen kepada RM2.70.
Kaunter paling untung dibarisi Malaysian Pacific Industries yang meraih RM1.18 kepada RM42.68, diikuti Kelington yang menokok 58 sen kepada RM8.94, Petronas Dagangan naik 52 sen kepada RM20.52, Hong Leong Industries untung 40 sen kepada RM17.92 dan NationGate meraih 21 sen kepada RM1.70.
Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan United Plantations turun 60 sen kepada RM31.52, Batu Kawan rugi 46 sen kepada RM20.54, Dutch Lady Milk Industries merosot 32 sen kepada RM31.68, Fraser & Neave susut 24 sen kepada RM26.30 dan Ta Ann susut 18 sen kepada RM6.11.
Bagi indeks pula, Indeks FBM ACE menambah 54.37 mata kepada 5,352.95 mata, Indeks FBM 70 melonjak 158.98 mata kepada 18,228.22 mata dan Indeks FBM Emas Syariah naik 37.59 mata kepada 12,666.95 mata.
Indeks FBM Emas pula meningkat 97.26 mata kepada 12,915.86 mata manakala Indeks FBM Top 100 meraih 94.45 mata kepada 12,730.24 mata.
Selain itu, mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 185.34 mata kepada 20,455.76 mata, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat sedikit sebanyak 0.94 mata kepada 188.00 mata namun Indeks Perladangan susut 85.88 mata kepada 9,424.55 mata manakala Indeks Tenaga turun 2.30 mata kepada 775.14 mata.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok kepada 2.24 bilion unit bernilai RM3.74 bilion daripada 1.93 bilion unit bernilai RM2.65 bilion pada Isnin.
Dagangan waran pula meningkat kepada 1.21 bilion unit bernilai RM185.17 juta, berbanding 1.06 bilion unit bernilai RM142.28 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 718.04 juta unit bernilai RM304.41 juta berbanding 608.82 juta unit bernilai RM245.09 juta pada Isnin.
Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 363.29 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (617.29 juta), pembinaan (100.32 juta), teknologi (434.02 juta), perkhidmatan kewangan (101.49 juta), hartanah (165.88 juta), perladangan (52.85 juta), amanah pelaburan hartanah (13.90 juta), dana tertutup (403,900), tenaga (97.88 juta), penjagaan kesihatan (102.21 juta), telekomunikasi dan media (26.23 juta), pengangkutan dan logistik (56.17 juta), utiliti (112.62 juta) serta amanah perniagaan (286,800). – BERNAMA


