KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan berkongsi sisi yang jarang diperkatakan mengenai kehidupan di sebalik bangku kehakiman , daripada tekanan menjatuhkan hukuman mati, realiti kemiskinan yang membentuk empati seorang hakim, proses menghasilkan penghakiman berbeza atau dissenting judgment, sehingga cabaran wanita dan peguam muda dalam bidang litigasi.
Dalam wawancara menerusi Advocates The Podcast, Nallini turut memberikan gambaran mengenai proses pemikiran hakim di mahkamah rayuan, kepentingan hujahan lisan dan bertulis serta prinsip keadilan asasi sebelum sesuatu keputusan muktamad dibuat.
Antara pengalaman paling mencabar sepanjang kerjayanya bermula apabila beliau meninggalkan amalan guaman komersial selama 21 tahun sebelum menyertai badan kehakiman dan ditempatkan terus di bahagian jenayah di Shah Alam.
Nallini berkata beliau hanya mempunyai sehari sebelum mengangkat sumpah dan kemudiannya diberikan satu kes bunuh yang perbicaraannya telah berjalan sebahagian, sedangkan beliau tidak mengendalikan undang-undang jenayah sejak menamatkan pengajian profesionalnya.
Selain perlu menguasai semula undang-undang jenayah dan keterangan, beliau berkata satu lagi cabaran ketika itu ialah menggunakan Bahasa Melayu dengan segera kerana seseorang tertuduh perlu memahami hukuman yang disampaikan kepadanya.
Menurut Nallini, kes yang dikendalikannya ketika itu banyak melibatkan pembunuhan dan pengedaran dadah, yang kedua-duanya pada masa berkenaan boleh membawa hukuman mati mandatori.
Sepanjang kira-kira dua hingga dua setengah tahun berada di mahkamah jenayah, beliau berkata hanya sekali menjatuhkan hukuman mati.
“I passed the death penalty once,” katanya sambil mengakui tekanan untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat amat besar.
Ketika ditanya mengenai pengalaman menjatuhkan hukuman mati dalam kes berkenaan, Nallini mengakui ia sangat berat dan berkata beliau sering tidak dapat tidur, walaupun sedikit sebanyak berasa lega kerana mengetahui keputusan itu akan melalui proses rayuan.
“It is not easy to pronounce the death sentence,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada pendiriannya dalam satu penghakiman terdahulu apabila tidak bersetuju mengenai hukuman mati mandatori.
“I think there must be an option,” katanya sambil menyatakan kedudukan undang-undang kini memberikan pilihan sedemikian.
Pengalaman kes jenayah membentuk empati
Nallini berkata pengalaman di mahkamah jenayah merupakan antara tempoh paling penting sepanjang kerjayanya sebagai hakim kerana ia mendedahkannya kepada realiti kehidupan yang jauh berbeza daripada pengalaman lebih dua dekad sebagai peguam.
Beliau menggambarkan kehidupan sebelumnya sebagai banyak berkhidmat kepada “perhaps the top 1% of the population”, sebelum pengalaman di mahkamah jenayah membawanya melihat keadaan sebenar masyarakat di lapangan.
Menurutnya, terdapat individu yang membesar dalam keadaan amat sukar, berdepan kemiskinan serta persekitaran yang menyebabkan pilihan dalam kehidupan mereka menjadi sangat terbatas.
“You are sometimes driven to [it] because of the environment, your poverty,” katanya.
Nallini berkata pengalaman sedemikian membentuk empati yang kekal bersamanya dan turut mempengaruhi cara beliau melihat persoalan undang-undang selepas itu, termasuk dalam penghakiman berkaitan Perlembagaan.
Hakim mungkin ada gambaran awal, tetapi keputusan selepas dengar pihak-pihak
Nallini turut menjelaskan bagaimana hakim di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan membuat persediaan sebelum mendengar sesuatu kes.
Menurutnya, seseorang hakim lazimnya sudah membaca fail dan hujahan bertulis sebelum memasuki mahkamah, sekali gus menyebabkan beberapa persoalan telah terbentuk dalam fikiran.
Dalam kes tertentu yang sangat jelas, termasuk melibatkan persoalan undang-undang yang telah mantap, beliau berkata seseorang hakim mungkin mempunyai gambaran sekitar “60%, 70%” mengenai arah kes itu.
Namun, Nallini menegaskan bahawa secara umumnya hakim tetap perlu mendengar hujahan pihak-pihak sebelum membuat keputusan muktamad.
“Generally speaking, it is undoubtedly the case that you have to listen to the submissions and hear parties before deciding finally,” katanya.
Menurutnya, hujahan lisan yang dilakukan dengan baik boleh mengukuhkan pemikiran awal hakim atau sebaliknya menunjukkan bahawa hakim mungkin tersilap melihat sesuatu persoalan.
Dalam beberapa tahun terakhirnya sebelum bersara, katanya, terdapat keadaan apabila panel mahkamah melihat persoalan yang tidak disentuh dalam hujahan pihak-pihak.
Dalam keadaan sedemikian, peguam perlu diberikan peluang menjawab, malah boleh diberikan masa untuk memikirkan persoalan itu terlebih dahulu, khususnya di Mahkamah Persekutuan.
Nallini menyifatkannya sebagai sebahagian daripada prinsip asas keadilan asasi.
Hujahan bertulis sangat penting
Nallini turut menekankan bahawa kualiti hujahan bertulis memainkan peranan besar dalam membantu seseorang hakim memahami sesuatu kes, khususnya di peringkat rayuan.
“The written advocacy, I can’t stress enough, is so important,” katanya.
Beliau berkata peguam yang benar-benar menguasai kes, memahami undang-undang berkaitan, menjangkakan hujah balas serta menyediakan jawapan kepada persoalan berkenaan mampu membantu mahkamah mencapai keputusan dengan lebih cekap.
Bagi hujahan lisan pula, beliau menyarankan peguam membawa mahkamah terus kepada hujah utama kerana ia menyediakan semacam “roadmap” kepada hakim dalam memahami kedudukan sesuatu pihak.
Apabila ditanya mengenai kualiti paling penting bagi seorang peguam, Nallini menyebut “brevity”, diikuti intelek dan kejelasan hujahan.
Beliau turut menekankan pentingnya hujahan yang tepat dan jujur, termasuk mendedahkan kelemahan sesuatu kes sebelum memberikan jawapan terhadap kelemahan tersebut.
Bagaimana penghakiman ‘dissent’ berlaku
Podcast berkenaan turut menyentuh mengenai penghakiman berbeza yang ditulis Nallini sepanjang berada di Mahkamah Persekutuan.
Pengacara podcast menyatakan hasil penelitian mereka menemui sekurang-kurangnya 11 kes di Mahkamah Persekutuan yang dipercayai menyaksikan Nallini berada dalam kedudukan berbeza daripada majoriti.
Nallini kemudian secara berseloroh berkata: “Yes, I was the dissenting queen.”
Beliau menjelaskan bahawa sesuatu dissenting judgment boleh terhasil dalam beberapa keadaan.
Seseorang hakim mungkin pada awalnya ditugaskan menulis penghakiman sebelum anggota panel lain membaca draf berkenaan dan menyatakan ketidaksetujuan.
Perbincangan kemudiannya dilakukan dan sekiranya perbezaan pandangan masih tidak dapat diselesaikan, penghakiman tersebut boleh akhirnya menjadi keputusan minoriti.
Dalam keadaan lain, seseorang hakim mungkin membaca penghakiman yang ditulis anggota panel lain tetapi mendapati dirinya tidak bersetuju dengan perkara asas dalam keputusan tersebut.
Nallini berkata proses perbincangan dan usaha mendapatkan konsensus tetap dilakukan, namun ia boleh menjadi lebih sukar khususnya dalam perkara berkaitan Perlembagaan.
Mengenai nilai keputusan minoriti, beliau merujuk kepada pandangan seorang hakim terkenal bahawa dissent boleh memberikan petunjuk mengenai arah perkembangan undang-undang pada masa hadapan.
Bagaimanapun, Nallini berkata seseorang peguam yang mahu bergantung kepada penghakiman minoriti tetap perlu terlebih dahulu menyatakan keputusan majoriti secara jelas dan tepat.
Peguam kemudian boleh menjelaskan mengapa alasan dalam penghakiman minoriti lebih sesuai dengan fakta kes yang sedang dikendalikan, selain menyokongnya menggunakan penulisan akademik dan keputusan dari bidang kuasa lain.
Cabaran wanita dalam litigasi masih wujud
Nallini turut bercakap secara terbuka mengenai kedudukan wanita dalam profesion guaman, khususnya litigasi komersial.
“Being a woman in litigation is tough. It still is tough,” katanya.
Menurutnya, keadaan lebih sukar ketika beliau memulakan kerjaya apabila wanita cenderung tertumpu kepada bidang perhubungan perusahaan dan undang-undang perkahwinan.
Sebaliknya, bidang korporat dianggap kerja bernilai tinggi, memberikan bayaran lebih besar dan cenderung mengutamakan lelaki.
Beliau berkata wanita turut berdepan persepsi bahawa mereka tidak mempunyai kepakaran atau kemampuan secukupnya untuk menjalankan tugas berkenaan.
Nallini berpandangan cabaran itu masih wujud sehingga hari ini, sambil memerhatikan bahawa dalam kes komersial, peguam utama lazimnya lelaki sedangkan ramai wanita berada dalam barisan peguam kedua atau junior.
Beri peguam muda peluang bercakap
Nallini turut berpandangan peguam muda mungkin belum mendapat sebanyak peluang yang sepatutnya untuk terlibat secara langsung dalam penghujahan dan pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi.
Beliau menggalakkan peguam kanan, dengan persetujuan anak guam, memberikan sebahagian tugas kepada peguam junior supaya mereka dapat mempelajari sendiri teknik pemeriksaan balas.
Nallini menegaskan bahawa meskipun seseorang peguam boleh bersikap tegas, saksi tidak seharusnya diserang, dilayan dengan kasar atau dihujani soalan secara tidak wajar.
Beliau turut menceritakan satu pengalaman di Mahkamah Rayuan apabila persoalan panel mengenai fakta kes akhirnya dijawab dengan baik oleh peguam wanita paling junior dalam pasukan terbabit.
Menurut Nallini, peguam berkenaan dapat menjelaskan perkara itu dengan sempurna kerana dia yang melakukan kerja asas kes tersebut.
Baginya, pengalaman itu menunjukkan mengapa peguam muda yang kompeten perlu diberikan peluang untuk bercakap dan berhujah sendiri di mahkamah.
Jangan ‘lawan’ hakim yang sukar
Kepada peguam muda yang berdepan hakim yang sukar, Nallini menasihatkan supaya mereka tidak bertindak melawan kerana keadaan boleh menjadi lebih buruk.
Sebaliknya, katanya, peguam perlu mengemukakan pandangan dengan penuh hormat, membaca keadaan mahkamah, kekal tenang serta cuba memujuk hakim melihat sesuatu persoalan daripada perspektif lain.
Beliau berkata perkara itu lebih mencabar ketika perbicaraan dan peguam perlu mengawal emosi, kekal fokus serta memastikan perkara penting yang berlaku direkodkan.
Masih aktif selepas bersara
Selepas meninggalkan bangku Mahkamah Persekutuan, Nallini berkata beliau masih aktif dalam bidang undang-undang termasuk menjalankan penyelidikan sendiri dan terlibat dalam beberapa kerja pro bono.
Beliau turut berkata sedang meneroka bidang arbitrasi dan mediasi serta kini menggunakan AI dengan lebih banyak dalam kerja berkaitan undang-undang.
Nallini juga mendedahkan bahawa beliau telah dilantik ke mahkamah di Qatar dan berminat meneruskan penglibatan dalam litigasi komersial antarabangsa.
Selain itu, beliau turut terlibat dalam kerja berkaitan semakan undang-undang perkapalan dan admiralti.
“Hopefully arbitration, mediation… international commercial litigation is something I would like to pursue,” katanya
Wawancara itu sekali gus memberikan gambaran mengenai perjalanan Nallini daripada seorang peguam litigasi, pengalamannya mengendalikan kes jenayah, seterusnya berkhidmat di mahkamah rayuan dan Mahkamah Persekutuan, serta prinsip yang membentuk pendekatannya terhadap undang-undang dan pentadbiran keadilan.



