KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) mencatat prestasi kewangan kukuh bagi tahun kewangan 2025 dengan mengagihkan dividen berjumlah RM40 juta kepada pemegang saham.
Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof, menyerahkan dividen itu selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini, pada Rabu.
Penyerahan tersebut disaksikan Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim, bersama ahli Lembaga Pengarah syarikat.
Daripada jumlah RM40 juta itu, Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) menerima RM19.9 juta, Sabah Ports Authority (SPA) RM7.9 juta, manakala Tasek Corporation Berhad menerima RM12 juta.
Bagi tahun kewangan 2025, CIS merekodkan hasil jualan sebanyak RM541 juta dengan keuntungan sebelum cukai RM81 juta.
Prestasi berkenaan mencerminkan keupayaan CIS mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dalam menghadapi cabaran industri, selain terus memberikan pulangan kepada pemegang saham.
Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan CIS turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan operasi serta meneruskan strategi pertumbuhan mampan.
Turut hadir Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk AR James Wong Kein Peng; wakil Tasek Corporation Berhad, Stephen Ho Kiam Kong dan Chen Fun Tee; Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Dollyn Aloysius; serta ahli Lembaga Pengarah CIS, Datuk Umar Sarim Saidin.



