HomeUtamaSekali berkongsi jarum, seumur hidup tanggung HIV

Sekali berkongsi jarum, seumur hidup tanggung HIV

Read Time:3 Minute, 52 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA BELUD: Sesal mengenang kehidupan lalu masih dirasai Man (bukan nama sebenar), 49, selepas keputusan berkongsi jarum ketika terjebak dalam penyalahgunaan dadah menyebabkan dia disahkan menghidap HIV pada 2003.

Ketika itu, Man yang berada di Kuala Lumpur mengambil keputusan menjalani saringan selepas mendapat tahu rakannya yang pernah berkongsi jarum dengannya meninggal dunia akibat AIDS.

Menurutnya, rakannya itu merupakan individu pertama yang berkongsi jarum dengannya pada 2001 ketika dia masih belajar di sebuah madrasah di Semenanjung.

“Saya menagih dadah jenis heroin, syabu, Erimin 5, ganja, ekstasi dan hanya sekali sahaja berkongsi jarum. Bila diberitahu kawan yang pernah berkongsi jarum dengan saya sudah meninggal dunia akibat AIDS, saya terus mahu buat pemeriksaan darah.

“Bila keputusan keluar, memang positif HIV. Masa itu saya kecewa, tetapi orang pertama yang saya beritahu ialah ibu saya. Alhamdulillah, ibu saya tidak marah dan terus menyokong saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jangkauan Media (Media Outreach Programme) Sabah Health Access Programme (SHAPE) oleh Malaysian AIDS Foundation (MAF) di Kota Belud, pada Khamis.

Man berkata, dia mula menjalani rawatan HIV pada 2006 dan tidak pernah terputus rawatan sehingga kini.

“Macam mana pun saya usahakan supaya tidak terputus rawatan. Kalau tiada duit, saya pinjam dengan adik-beradik,” katanya.

Katanya, ibunya yang berusia 76 tahun menjadi antara individu penting yang banyak membantunya meneruskan rawatan dan menjalani kehidupan seharian.

“Saya tidak pernah skip rawatan. Ibu jaga saya dan pastikan saya ikut rawatan. Saya pasang alarm setiap hari,” katanya.

Selepas bertahun-tahun tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur sebagai pengawal keselamatan hingga 2018, Man kini menetap bersama ibunya di Kota Belud dan mengusahakan tanaman pisang serta ubi bagi menambah pendapatan.

“Selepas balik kampung, saya tanam pisang dan ubi. Ada juga hasil untuk dijual. Perbelanjaan sebulan sekitar RM200 untuk beli beras dan keperluan lain,” katanya.

Man berkata, dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan, selain bantuan SHAPE yang diterima dari semasa ke semasa bagi membantu menampung kos sara hidup.

“Bantuan SHAPE sangat membantu. Kalau tiada bantuan, saya terpaksa pinjam duit daripada adik-beradik,” katanya.

Bagaimanapun, kos perjalanan mendapatkan rawatan turut menjadi cabaran, terutama apabila perlu berulang-alik ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Menurutnya, kos pengangkutan boleh mencecah RM200 hingga RM250 bagi satu perjalanan, bergantung kepada jarak, tempoh menunggu dan keadaan jalan, selain belanja makan kepada pemandu.

“Kalau tumpang orang, boleh kena RM60 hingga RM80 pergi balik. Kalau perjalanan jauh dan perlu menunggu, boleh jadi RM200 hingga RM250 sekali pergi.

“Saya pergi dapatkan rawatan enam bulan sekali. Kalau banjir pula, kena ikut jalan lain dan perjalanan menjadi lebih jauh,” katanya.

Dalam pada itu, Man mengakui stigma terhadap orang yang hidup dengan HIV (OHDA) masih menjadi kebimbangan utama sehingga menyebabkan dia tidak mendedahkan statusnya kepada penduduk kampung.

“Di kampung ini pun tiada yang tahu saya OHDA. Kalau mahu minta bantuan pun saya segan hendak sebut status itu. Masalah stigma ini yang saya takut,” katanya.

Selain stigma, Man turut berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) sejak 2021 susulan masalah berkaitan daya ingatan.

“Saya mahu kerja sendiri. Setiap kali mohon kerja dan tunjuk kad OKU, orang tidak mahu terima. Saya harap satu hari nanti saya dapat bekerja juga,” katanya.

Man turut berkongsi pengalaman berdepan masalah kesihatan mental ketika berada di Semenanjung sehingga pernah terfikir untuk terjun dari bangunan dan mencederakan diri.

Katanya, nasihat ibu serta amalan agama banyak membantunya melalui tempoh sukar berkenaan.

“Dulu saya pernah mahu terjun bangunan dan terfikir mahu cederakan diri, tetapi ibu saya selalu menasihatkan saya supaya jaga diri dan jangan tinggalkan solat lima waktu.

“Sejak itu saya ikut nasihat ibu dan tidak tinggal solat. Kini di rumah, adik saya bantu laungkan azan sebelum kami solat berjemaah. Itu yang banyak menenangkan saya,” katanya.

Selain menunaikan solat berjemaah bersama keluarga, Man turut membantu mengajar anak-anak saudaranya mengaji al-Quran di kediamannya.

Dalam program berkenaan, pasukan SHAPE turut mengadakan kunjungan ke kediaman Man dan menyampaikan sumbangan bagi membantu meringankan beban sara hidup serta keperluannya sebagai OHDA.

Kunjungan itu turut memberi ruang kepada pihak MAF dan Yayasan PETRONAS untuk mendengar secara langsung cabaran yang dihadapi Man, termasuk berkaitan rawatan, kos perjalanan, pekerjaan dan stigma masyarakat.

Man berkata, pengalaman lalu menjadi pengajaran besar dalam hidupnya dan dia berharap masyarakat dapat menerima OHDA tanpa stigma serta memberi peluang kepada mereka untuk kembali berdikari.

“Saya cuma mahu hidup macam orang lain, bekerja dan berdikari. Kalau masyarakat boleh terima dan beri peluang, kami pun mahu berubah dan meneruskan kehidupan,” katanya.

Turut hadir dalam kunjungan itu Setiausaha Kehormat MAF, Dr Zaiton Yahaya; Pengarah Eksekutif MAF dan Malaysian AIDS Council (MAC), Jasmin Jalil; Ketua Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti Yayasan PETRONAS, Roszaidah Husman @Othman; serta Pengurus Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti Yayasan PETRONAS, Dr Faizal Ibrahim.

RELATED ARTICLES
Utama

Inkues Zara: Bapa, kakak tiri dijangka dipanggil sebagai saksi bulan depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular