Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Pelancongan yang memberi manfaat kepada komuniti, mengetengahkan kekayaan budaya serta membuka peluang kepada generasi muda menjadi antara hala tuju yang mahu digalakkan di Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, sektor pelancongan kini sedang berubah apabila pengunjung bukan lagi sekadar mencari tempat untuk dikunjungi, sebaliknya turut mencari pengalaman dan kisah yang memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai sesuatu destinasi.
Menurutnya, kepelbagaian budaya Sabah menjadi antara kekuatan terbesar negeri ini dalam menawarkan pengalaman sedemikian kepada pengunjung.
“Landskap kita mungkin menjadi tarikan yang membawa pengunjung ke Sabah, tetapi selalunya masyarakat, budaya dan pengalaman yang mereka lalui di sini menjadi sebab mereka mengingati kita,” katanya sempena pelancaran Sabah Fest 2026 di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, pengalaman seperti menikmati hidangan bersama komuniti tempatan, mendengar muzik, mempelajari kraf tradisional, menyaksikan persembahan kebudayaan atau mendengar kisah di sebalik sesuatu tradisi membolehkan pengunjung memahami Sabah dengan cara yang tidak mampu dirakam melalui gambar semata-mata.
“Inilah bentuk pelancongan yang mahu kita galakkan. Pelancongan yang mewujudkan peluang, memperkukuh komuniti serta menyediakan platform kepada usahawan tempatan, artisan, penggiat persembahan, golongan kreatif dan bakat muda kita.
“Lebih penting, kita mahu peluang ini diperluas melangkaui pusat pelancongan sedia ada dan sampai kepada komuniti di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau turut memberi penekanan khusus kepada golongan muda dengan berkata, generasi akan datang bukan sekadar perlu mewarisi tradisi, malah harus diberi kebebasan dan peluang untuk membawa tradisi itu dalam bentuk dan pendekatan baharu.
“Kita mahu melihat anak muda Sabah membawa kreativiti mereka ke dalam muzik, seni, fesyen, kandungan digital, makanan dan pengalaman pelancongan.
“Kita mahu mereka mempunyai keyakinan untuk berkata: ‘Ini budaya kita. Ini kisah kita. Dan inilah cara kita mahu berkongsinya dengan dunia.’
“Kerana Sabah pada masa hadapan akan dibentuk oleh mereka,” katanya.
Mengenai Sabah Fest, Jafry berkata festival yang diperkenalkan pada 1988 itu terus berkembang dengan menerima ekspresi kontemporari dan cara baharu untuk menikmati Sabah tanpa meninggalkan akar warisannya.
“Budaya bukan sekadar sesuatu yang kita pelihara untuk masa lalu. Budaya adalah sebahagian daripada kehidupan kita hari ini,” katanya.
Sabah Fest tahun ini turut diperluas melangkaui persembahan utamanya dengan program di Kudat, Kuala Lumpur, Sandakan dan Tawau.
Menerusi semangat “50 Events, One Golden Journey”, Sabah Fest menghimpunkan 50 acara terpilih yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 29 September.
Sabah Fest 2026 turut berlangsung menjelang Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia, yang menurut Jafry merupakan tempoh bermakna bagi Sabah dan Malaysia.
Beliau berkata, sambutan itu mengingatkan rakyat mengenai kepelbagaian identiti, sejarah dan komuniti yang membentuk Malaysia serta kekuatan yang terhasil apabila semua pihak bersatu.
“Kepelbagaian kita bukan pemisah. Kepelbagaian adalah identiti kita. Dan kepelbagaian adalah kekuatan kita,” katanya.
Sempena ulang tahun ke-50 Lembaga Pelancongan Sabah, Jafry berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk membawa sektor pelancongan Sabah mengharungi 50 tahun akan datang.
Katanya, Sabah perlu terus dikenali kerana keindahan alam semula jadi, biodiversiti dan kekayaan budayanya, namun pada masa sama menjadi destinasi di mana pelancongan mewujudkan peluang, komuniti mendapat manfaat, budaya dihormati dan alam sekitar dilindungi.
“Di mana golongan muda mempunyai masa depan dalam industri pelancongan dan kreatif. Dan di mana setiap pengunjung pulang dengan kisah yang berbaloi untuk diceritakan.
“Itulah Sabah yang harus kita bina,” katanya.



