LABUAN: Sebuah premis makanan laut di sini dikenakan kompaun selepas didapati gagal mempamerkan harga jualan tunai bagi menu makanan laut yang ditawarkan kepada pelanggan.
Tindakan itu diambil selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan menerima maklumat dan aduan daripada pengguna sebelum pemeriksaan dijalankan kira-kira jam 7 malam, Sabtu.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan mendapati pengusaha premis berkenaan tidak mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi menu makanan laut dalam buku menu yang disediakan kepada pelanggan.
Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan pengguna tidak memperoleh maklumat harga yang jelas sebelum membuat pilihan dan pembelian.
“Susulan ketidakpatuhan tersebut, tindakan kompaun diambil terhadap pengusaha berkenaan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000, manakala pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.
Junaidah berkata, penandaan harga yang jelas penting bagi memastikan pengguna dapat membuat keputusan pembelian secara telus dan bermaklumat.
“Peniaga juga bertanggungjawab memastikan harga barangan atau caj perkhidmatan dipamerkan dengan jelas serta mudah dirujuk oleh pengguna,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil mudah kewajipan berkaitan penandaan harga serta memastikan setiap barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan mematuhi peraturan ditetapkan.
Pada masa sama, KPDN Labuan menghargai kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat dan aduan mengenai sebarang ketidakpatuhan kerana ia membantu usaha pemantauan serta penguatkuasaan bagi melindungi kepentingan dan hak pengguna.



