HomeUtamaBas bawa pelajar dipercayai alami masalah teknikal, sembilan cedera

Bas bawa pelajar dipercayai alami masalah teknikal, sembilan cedera

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA BELUD: Sembilan pelajar mengalami kecederaan ringan selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Simpang Tiga Jalan Kota Belud-Kundasang, kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, bas persiaran berkenaan disewa bagi membawa 35 pelajar dan seorang guru dari Sekolah Menengah Sains Tuaran.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11 pagi sebelum dua anggota BBP Kota Belud dikerahkan ke lokasi.

“Sembilan pelajar yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan lanjut menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tuaran dan Kota Belud serta ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Operasi ditamatkan pada jam 12.32 tengah hari selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat dan terkawal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin dalam kenyataan berkata, kemalangan kira-kira jam 10.20 pagi itu membabitkan bas berkenaan, sebuah Perodua Alza dan van Toyota Hiace di Kampung Bongol, Jalan Tamparuli-Ranau.

Katanya, siasatan awal mendapati bas itu membawa 35 pelajar dan seorang guru pengiring dari MRSM Ranau menuju ke Sekolah Menengah Sains Sabah, Tuaran.

“Ketika melalui kawasan selekoh dan menuruni bukit, bas itu dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum hilang kawalan, memasuki lorong bertentangan dan bergesel dengan sebuah Perodua Alza.

“Bas kemudian bergerak ke bahu jalan dan melanggar lereng bukit sebelum rebah serta terkena sebuah van yang berada di lokasi,” katanya.

Menurutnya, seorang guru pengiring dan beberapa pelajar mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Kota Belud serta Hospital Tuaran.

Semua mangsa yang menerima rawatan sudah dibenarkan keluar dari hospital dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Noraidin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya pengendali kenderaan yang membawa penumpang, supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji serah bantuan RM3,000 kepada KIR mangsa kebakaran di Numbak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular