HomeUtamaTiga lelaki maut, seorang cedera kereta terbabas masuk gaung

Tiga lelaki maut, seorang cedera kereta terbabas masuk gaung

Read Time:58 Second

LAHAD DATU: Tiga lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Hutan Simpan Bagahak, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Aeroback yang dipercayai terbabas sendiri ketika melalui selekoh sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter.

“Tiga lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian.

“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi lelaki dewasa mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Namun menurutnya, identiti kesemua mangsa belum diperoleh.

Operasi ditamatkan pada jam 8.45 malam selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat dan tiada lagi bahaya. Operasi turut dibantu pihak polis dan KKM. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Had kelayakan BUDI MADANI dinaikkan semula kepada 300 liter mulai hari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular