HomeUtamaHad kelayakan BUDI MADANI dinaikkan semula kepada 300 liter mulai hari ini

Had kelayakan BUDI MADANI dinaikkan semula kepada 300 liter mulai hari ini

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Had kelayakan asas bulanan BUDI MADANI dinaikkan semula daripada 200 liter kepada 300 liter mulai hari ini, 1 September 2026, memberi manfaat kepada rakyat yang bergantung kepada kenderaan untuk urusan harian.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengumumkan pelarasan berkenaan dalam Amanat Perdana Ambang Merdeka 2026.

Pelarasan itu dilaksanakan secara automatik kepada penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), tertakluk kepada kelayakan masing-masing.

Seramai 16 juta pengguna menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, manakala lebih 700,000 pengguna layak turut menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.

Bagi lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, mereka boleh memohon tambahan kelayakan sebanyak 100 liter sebulan.

Dengan tambahan itu, jumlah kelayakan bulanan mereka boleh ditingkatkan daripada 300 liter kepada 400 liter.

Pemilik pikap dan jip yang layak tetapi belum membuat permohonan tambahan berkenaan boleh berbuat demikian menerusi portal BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my.

Bagi pemilik pikap dan jip yang telah diluluskan tambahan 100 liter sebelum ini, kelayakan mereka akan diselaraskan secara automatik kepada 400 liter mulai hari ini.

Pengembalian had kelayakan bulanan itu mengambil kira pengurusan bekalan yang semakin tersusun, penguatkuasaan lebih tegas, prestasi ekonomi negara yang kukuh serta kemampuan kewangan Kerajaan.

Langkah berkenaan turut mengambil kira keperluan rakyat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk urusan harian, selain peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan sebagai sumber pendapatan.

Kerajaan MADANI akan terus memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, di samping memperkukuh usaha membendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

8,000 pengunjung meriahkan Sambutan Hari Sabah di Dataran Bandaraya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular