HomeUtamaJBPM Sabah laksana Task Force Ops Trigger 2026, 34 hotel ditawar kompaun

JBPM Sabah laksana Task Force Ops Trigger 2026, 34 hotel ditawar kompaun

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah melaksanakan Task Force Ops Trigger 2026 secara serentak di seluruh negeri bagi mengesan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis hotel yang didapati sengaja menyahaktifkan (isolate/bypass) atau mematikan fungsi sistem penggera kebakaran tanpa alasan teknikal yang sah, mengikut Seksyen 55, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Operasi yang dilaksanakan pada Rabu (2 Sept) dari jam 10 pagi hingga 3 petang itu melibatkan pemeriksaan terhadap premis hotel di kawasan jagaan zon dan balai JBPM di seluruh negeri.

Tindakan menyahaktifkan atau mematikan sistem penggera kebakaran secara sengaja boleh menjejaskan fungsi sistem berkenaan dalam memberikan amaran awal sekiranya berlaku kebakaran, sekali gus meningkatkan risiko terhadap keselamatan penghuni dan tetamu.

Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 76 premis hotel diperiksa di seluruh Sabah. Daripada jumlah itu, 34 tawaran kompaun dikeluarkan atas kesalahan yang dikesan, melibatkan jumlah keseluruhan RM4,600.

Pengarah JBPM Negeri Sabah, Mohd Pisar Aziz, berkata pelaksanaan operasi berkenaan bukan semata-mata bertujuan mengeluarkan kompaun, sebaliknya bagi memastikan pengurusan premis hotel mengambil serius aspek keselamatan kebakaran serta memastikan sistem penggera kebakaran sentiasa berada dalam keadaan berfungsi.

“Keselamatan penghuni dan tetamu premis adalah keutamaan. Sistem penggera kebakaran merupakan salah satu komponen penting dalam memberikan amaran awal sekiranya berlaku kecemasan dan tidak seharusnya dinyahaktifkan tanpa alasan teknikal yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JBPM Negeri Sabah memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan akibat kegagalan fungsi sistem keselamatan kebakaran kerana keadaan itu berpotensi mengancam nyawa penghuni, khususnya di premis penginapan yang mempunyai kapasiti penghuni tinggi atau berdepan risiko ketika penghuni sedang tidur (sleeping risk).

Katanya, JBPM Negeri Sabah akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan tahap pematuhan keselamatan kebakaran di premis berisiko, khususnya sektor perhotelan, sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan demi menjamin persekitaran yang selamat.

RELATED ARTICLES
Utama

Tambang penerbangan tinggi boleh jejas Tahun Melawat Sabah 2027

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular