KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo yang disyaki membawa petrol, barangan kawalan berjadual dan baja ammonium nitrat tanpa kebenaran polis dalam operasi penguatkuasaan di perairan Dogoton, Pulau Banggi, di sini.
Bot berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika tenggara Dogoton, Pulau Banggi, hasil maklumat risikan yang diperoleh Ibu Pejabat Maritim Zon Kudat.

Pengarah Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pemeriksaan mendapati bot kargo itu dikendalikan empat individu terdiri daripada seorang warga Malaysia dan tiga warga Filipina berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Beliau berkata, kesemua individu bersama bot kargo serta muatan yang dianggarkan bernilai RM150,000 itu ditahan untuk tindakan lanjut.
“Bot berkenaan kemudian diiring ke Jeti Pelabuhan Kudat bagi menjalani pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, penahanan itu adalah hasil risikan serta kecekapan anggota operasi dalam mengesan dan mengekang aktiviti mencurigakan di perairan Pulau Banggi.
Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan, selain memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan negara diminta menyalurkannya kepada Maritim Malaysia menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611 858 untuk tindakan segera.



