Oleh Profesor Madya Dr Shahrul Mizan Ismail,Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia
Kontroversi mengenai drama ‘Madu atau Racun’ telah menarik perhatian masyarakat Malaysia, namun persoalan undang-undang yang lebih mendasar perlu diberi perhatian.
Sebagai sebuah negara yang Perlembagaannya mengiktiraf kedudukan Islam, soal menjaga nilai agama bukanlah perkara asing dalam ruang awam kita. Namun, apabila kerajaan menyatakan sesuatu kandungan tidak sepatutnya ditayangkan, persoalannya ialah: apakah sebenarnya yang boleh dilakukan oleh undang-undang?
KETERBATASAN UNDANG-UNDANG SEDIA ADA
Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620], yang menjadi tunjang penapisan filem Malaysia, mempunyai keterbatasan yang nyata. Seksyen 2(3) secara khusus memperuntukkan bahawa Akta itu tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan filem yang disebarkan atau dipancarkan melalui internet atau intranet.
Kementerian Dalam Negeri sendiri masih menerangkan kedudukan tersebut dalam FAQ rasminya yang dikemas kini pada Julai 2026.
Ini mencetuskan paradoks yang ganjil: sebuah filem yang ditayangkan di pawagam tertakluk kepada mekanisme penapisan yang jelas, tetapi kandungan audiovisual yang masuk terus ke ruang tamu kita melalui telefon, tablet dan televisyen pintar bergerak dalam ekosistem perundangan yang jauh lebih kompleks.
Pada 2 September 2026, Menteri Komunikasi menjelaskan bahawa kandungan drama dan filem melalui platform over-the-top (OTT) pada masa ini tidak secara langsung tertakluk kepada pengawasan pelesenan FINAS, sehingga CMCF, FINAS dan JAKIM perlu duduk bersama penerbit serta iQIYI untuk mendapatkan penjelasan.
Ini bukan sekadar persoalan pentadbiran, tetapi simptom ketidakcukupan undang-undang.
SERPIHAN UNDANG-UNDANG YANG TIDAK BERPASAKAN
Malaysia tidak kekurangan undang-undang berkaitan kandungan digital. Kita mempunyai Akta Penapisan Filem 2002, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kod Kandungan 2022, serta pelbagai agensi seperti FINAS, LPF, SKMM, Forum Kandungan dan JAKIM.
Namun, mempunyai banyak instrumen tidak semestinya bermaksud mempunyai rejim undang-undang yang lengkap. Parlimen telah meluluskan pindaan kepada Akta FINAS pada penghujung 2025 yang membincangkan peluasan skop kepada OTT, media sosial dan bentuk kandungan baharu.
Namun perbahasan yang sama turut menunjukkan bahawa peluasan kawal selia tertentu masih bergantung kepada mekanisme pelesenan VOD di bawah kerangka komunikasi dan multimedia.
Dengan kata lain, teknologi telah menyatukan segala-galanya pada satu skrin, tetapi undang-undang kita masih memisahkan dunia mengikut kotak-kotak institusi lama.
PERBEZAAN ANTARA REPRESENTASI DAN PROMOSI
Akta Komunikasi dan Multimedia menyediakan mekanisme lain. Seksyen 211, misalnya, melarang penyedia perkhidmatan aplikasi kandungan menyediakan kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau amat jelik (grossly offensive) dengan niat tertentu.
Kod Kandungan 2022 kemudian membantu memberikan panduan tentang bagaimana standard tersebut harus difahami dalam konteks sosial, agama, politik dan pendidikan Malaysia.
Namun ini menimbulkan persoalan yang lebih mendasar: adakah menggambarkan sesuatu perbuatan sama dengan mempromosikannya?
Undang-undang yang baik mesti mampu membezakan antara representasi, normalisasi, advokasi, glorifikasi dan hasutan. Drama tentang rasuah tidak semestinya mempromosikan rasuah.
Drama tentang pembunuhan tidak menghalalkan pembunuhan. Watak yang melakukan dosa tidak secara automatik menjadikan karya tersebut suatu seruan supaya penonton melakukan dosa yang sama.
PERANAN JAKIM DAN KEDUDUKAN PERLEMBBAGAAN
Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-bahan Penyiaran Berunsur Islam Bil. 4 Tahun 2015 memang wujud. Tetapi judulnya sendiri menunjukkan ruang lingkup khususnya: bahan penyiaran berunsur Islam.
Ia merupakan garis panduan pentadbiran dan tidak dengan sendirinya menjadi suatu Akta Parlimen yang mencipta kesalahan baharu atau memberikan bidang kuasa penapisan umum terhadap setiap kandungan komersial yang disiarkan melalui OTT.
Apabila sebuah kenyataan rasmi menyebut bahawa tindakan akan diambil berdasarkan “garis panduan serta peruntukan undang-undang sedia ada”, seorang pengamal atau sarjana undang-undang sewajarnya bertanya:
Peruntukan yang mana? Kesalahannya apa? Siapakah pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa? Apakah ujian undang-undang yang digunakan? Dan apakah proses yang tersedia kepada penerbit untuk menjawab, membela atau merayu?
Ini bukan kerenah seorang peguam. Inilah yang kita panggil kedaulatan undang-undang.
Apabila negara mahu menyekat ekspresi, kedudukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan juga tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Dalam kes Amir Hariri Abd Hadi v Public Prosecutor, Mahkamah Persekutuan pada 2025 menegaskan semula bahawa undang-undang yang menyekat hak di bawah Perkara 10 bukan menjadi sah semata-mata kerana ia boleh diletakkan di bawah salah satu alasan dalam Perkara 10(2).
Sekatan itu tetap perlu bersifat adil secara objektif dan berkadar dengan tujuan yang hendak dicapai.
PENDEKATAN MODERN TERHADAP KAWAL SELIA KANDUNGAN
Kita terlalu kerap membincangkan kandungan digital melalui bahasa “benarkan atau haramkan”, sedangkan undang-undang moden menyediakan jauh lebih banyak pilihan.
Pengelasan umur, kawalan ibu bapa, amaran kandungan, sekatan akses kepada kanak-kanak, pengesahan umur, kewajipan platform, mekanisme aduan, ketelusan keputusan, hak rayuan, penalti secara bertingkat, tanggungjawab penerbit dan tanggungjawab platform yang dibezakan.
Lihat sahaja Singapura. OTT dan VOD diletakkan secara jelas di bawah Content Code for Over-the-Top, Video-on-Demand and Niche Services.
Kandungan matang boleh diurus melalui sistem klasifikasi, kawalan ibu bapa dan sekatan umur tanpa menganggap bahawa satu-satunya pilihan kerajaan ialah sama ada membenarkan semuanya atau mengharamkan semuanya.
Kesatuan Eropah pula mengembangkan prinsip yang lebih menarik: keneutralan teknologi dan kawal selia berperingkat.
Kandungan audiovisual dikawal berdasarkan sifat dan risikonya, bukan semata-mata berdasarkan sama ada ia sampai kepada kita melalui televisyen, kabel atau internet.
KESIMPULAN
Malaysia sedang hidup dalam dunia Netflix, iQIYI, TikTok, YouTube dan kandungan berasaskan kecerdasan buatan, sedangkan sebahagian daripada seni bina undang-undang kita masih membawa logik zaman ketika “menonton filem” bermaksud pergi ke pawagam atau menunggu rancangan disiarkan di televisyen.
Teknologi tidak akan menunggu Parlimen. Sebab itu persoalan sebenar bukan sama ada kita mahu mempertahankan agama, moral atau budaya. Sudah tentu sebuah masyarakat berhak menentukan nilai yang mahu dipeliharanya.
Persoalan yang jauh lebih sukar ialah: bolehkah negara mempertahankan nilai tersebut melalui undang-undang yang cukup tepat, konsisten dan adil sehingga kita sendiri yakin bahawa kuasa yang diberikan hari ini tidak akan disalahgunakan terhadap perkara lain esok?
Bagi saya, di situlah ukuran sebenar sebuah negara hukum. Kerana kesucian agama memang perlu dipelihara. Tetapi ketika kita mempertahankan agama, kedaulatan undang-undang juga jangan sampai kita korbankan.



