KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah akan terus memperhebat usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah bagi memastikan negeri ini tidak dijadikan transit oleh sindiket dadah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, usaha berkenaan turut memerlukan kerjasama berterusan daripada pelbagai agensi penguat kuasa bagi mengekang kemasukan dadah ke negeri ini.
“PDRM akan terus berusaha membanteras kemasukan dadah ke Sabah, manakala rampasan yang dilakukan setakat ini turut membuktikan hasil kerjasama dengan agensi-agensi lain.
“Kita mengharapkan pihak agensi akan terus bekerjasama dengan PDRM untuk mengatasi masalah yang menjadikan Sabah sebagai transit sindiket pengedaran dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Menurut Jauteh, kunjungan hormat itu turut bertujuan memperkenalkan barisan pegawai kanan baharu yang akan menerajui beberapa jabatan penting di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Katanya, barisan berkenaan terdiri daripada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, beberapa ketua jabatan serta ketua polis daerah yang baharu.
Dalam pada itu, Jauteh berkata PDRM Sabah turut mempergiat pendekatan Kepolisian Komuniti sebagai antara usaha mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
“Kita akan mengadakan beberapa siri program Kepolisian Komuniti bagi mendidik masyarakat supaya menjauhkan diri daripada penyalahgunaan dadah serta menyalurkan maklumat kepada PDRM sekiranya terdapat aktiviti dadah di kawasan mereka,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa mengesan serta mengekang kegiatan pengedaran dadah di kawasan masing-masing.



