KOTA KINABALU: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa stesen pemantauan di negeri ini mula menunjukkan penurunan setakat 8 pagi tadi berbanding tempoh sama semalam.
Antara stesen pemantauan yang menunjukkan penurunan pada tahap sederhana adalah stesen Tawau dengan bacaan 93.
Bagi stesen pemantauan Kota Kinabalu merekodkan bacaan 92; Kimanis 90 dan Keningau mencatat bacaan 85.
Bagaimanapun stesen pemantauan di Sandakan menunjukkan bacaan tidak sihat iaitu 152 dan stesen Politeknik Kota Kinabalu 118.
Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah dalam kenyataan memaklumkan tiada kejadian kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta hasil rondaan pencegahan pembakaran terbuka oleh JAS.
Menurut kenyataan itu, laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) berdasarkan imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) 20 turut menunjukkan tiada titik panas dikesan di Sabah semalam.
Bagaimanapun, sebanyak 780 titik panas aktif dikesan di Kalimantan dan 142 lagi di Sumatera berdasarkan cerapan 2 Sept.
JAS memaklumkan pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta rondaan harian di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering.



