Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar 50 kilogram syabu.
Kedua-dua tertuduh Yong Tze Yean, 45, dan Tan Kae Shu, 46, didakwa bersama-sama mengedar 50,000 gram syabu pada 25 Ogos lalu, jam 4.20 petang, di hadapan Borneo Noodle House, di Beverly Hills Plaza, Penampang.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Yong dan Tan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Mahkamah menetapkan 12 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan memerintahkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam terus direman.
Sementara itu, dalam kes berasingan, di mahkamah yang sama seorang lagi lelaki didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bradley Oswald, 28, didakwa mengedar 214.17 gram kanabis pada 24 Ogos lalu, jam 5 petang, di hadapan bangunan Chicken Town, Jalan Tombovo Ketiau, Putatan.
Mahkamah menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan memerintahkan Bradley terus direman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akash Singh.



