BERNAMA
KOTA KINABALU: Tiga klinik pergigian bergerak baharu akan diserahkan untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di Penampang, Kudat dan Keningau, Sabah menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata inisiatif itu membuktikan kesungguhan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan pergigian masyarakat luar bandar dan pedalaman Sabah seiring dengan usaha memperkasakan fasiliti pergigian moden di kawasan bandar.
Beliau berkata penyediaan kemudahan klinik pergigian bergerak itu juga membolehkan perkhidmatan pencegahan serta rawatan asas sampai terus kepada masyarakat yang menghadapi kekangan jarak dan logistik.
“KKM sama sekali tidak melupakan masyarakat di luar bandar dan pedalaman Sabah,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata pendekatan itu penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan mulut dapat dinikmati secara lebih adil dan saksama oleh semua penduduk negeri ini.
“Kesihatan holistik semestinya bermula daripada kesihatan mulut yang baik,” katanya.
Beliau berkata KKM akan terus merakyatkan perkhidmatan kesihatan supaya setiap rakyat sama ada di bandar mahupun di desa mendapat penjagaan kesihatan yang adil, saksama dan berkualiti tinggi. –BERNAMA



