HomeUtamaKali terakhir jumpa anak sekitar 2017, ibu besarkan Zara sepenuhnya – Bapa...

Kali terakhir jumpa anak sekitar 2017, ibu besarkan Zara sepenuhnya – Bapa Zara

Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Bapa Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa kali terakhir beliau berjumpa dengan anaknya adalah sekitar tahun 2017 di Sipitang.

Saksi ke-80, Mahathir Mohd Hashim @ Marikin, 45, berkata sejak sekitar tahun 2017, beliau tidak lagi tinggal bersama atau pulang ke Sipitang untuk bersama Zara dan ibu Zara atas sebab ketidaksefahaman antara beliau dengan ibu Zara.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan Zara adalah sekitar tahun 2017 di Sipitang,” katanya ketika membaca pernyataan bertulis beliau di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Mahathir berkata sejak tidak lagi tinggal bersama ibu Zara dan Zara, beliau hanya berhubung dengan anaknya melalui panggilan telefon dan mesej WhatsApp.

Terdahulu, Mahathir memberitahu mahkamah bahawa perkahwinannya dengan ibu Zara, Noraidah Lamat, adalah perkahwinan keduanya dan Zara merupakan anak hasil daripada perkahwinan tersebut.

Menurutnya, beliau memanggil Zara dengan gelaran “Baby Zara”, manakala Zara memanggilnya “Babah”.

Sebelum berkahwin dengan Noraidah, Mahathir pernah berkahwin dengan isteri pertamanya, namun perkahwinan itu berakhir dengan penceraian.

Mahathir berkata beliau mula bekerja di Kota Kinabalu pada pertengahan 2015 dan disebabkan pekerjaannya, beliau menyewa sebuah bilik di Kota Kinabalu dan sejak itu tidak lagi tinggal bersama Zara dan ibu Zara di Sipitang.

“Walau bagaimanapun, saya masih pulang ke Sipitang untuk berjumpa Zara dan ibu Zara sekali atau dua bulan sekali, memandangkan kekangan kewangan dan ketidakmampuan saya untuk berulang-alik ke Sipitang pada setiap minggu.

“Ibu Zara yang menjaga dan membesarkan Zara sepenuhnya,” katanya.

Mahathir berkata berdasarkan pemerhatiannya sepanjang tinggal bersama mereka, Zara adalah seorang anak yang periang dan suka akan pantai dan laut.

Katanya, Zara sering memintanya membawanya ke pantai apabila beliau pulang ke rumah.

Mahathir juga pernah membawa Zara dan ibunya bercuti di Shangri-La Rasa Ria Resort, Tuaran ketika mempunyai sedikit rezeki lebih untuk bercuti dan meluangkan masa bersama.

“Zara juga tidak menunjukkan sebarang tanda atau keadaan yang menimbulkan kebimbangan kepada saya,” katanya.

Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.

RELATED ARTICLES
Utama

Yang di-Pertuan Agong perkenan tamatkan darurat jerebu di Serian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular