HomeUtamaProgram Maulidur Rasul, Kemerdekaan satukan penduduk Lok Kawi Baru

Program Maulidur Rasul, Kemerdekaan satukan penduduk Lok Kawi Baru

Read Time:1 Minute, 33 Second

PUTATAN : Sambutan Maulidur Rasul dan Kemerdekaan Peringkat Kampung Lok Kawi Baru menjadi platform menyatukan masyarakat setempat menerusi pengisian keagamaan, patriotik dan aktiviti kekeluargaan.

Program yang berlangsung di Masjid Dhuyufur Rahman itu turut mengetengahkan konsep kebersamaan masyarakat menerusi tema “Keluarga Merdeka: Ceria Sekampung”, selain menggalakkan penyertaan pelbagai lapisan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari berkata, penganjuran program seumpama itu penting dalam membina masyarakat yang bukan sahaja mempunyai penghayatan agama, malah mempunyai semangat patriotisme dan perpaduan yang kukuh.

Katanya, sambutan Maulidur Rasul dan Kemerdekaan secara bersama turut memberi ruang kepada masyarakat untuk mengeratkan silaturahim serta memperkukuh hubungan antara penduduk.

“Program seperti ini wajar diteruskan kerana bukan sahaja menyemai nilai keagamaan dan kecintaan kepada negara, malah mengukuhkan perpaduan serta semangat kebersamaan dalam masyarakat,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Menurutnya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan perlu terus digalakkan kerana ia mampu mewujudkan suasana komuniti yang lebih harmoni dan saling bekerjasama.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan pertandingan Busana Merdeka, persembahan Qasidah Al-Burdah, persembahan kompang oleh golongan belia dan cabutan bertuah.

Pertandingan Busana Merdeka menyaksikan Nur Diah Humaira Azmi muncul juara, diikuti Nurul Aleesya Rosri di tempat kedua, Quesyairi Ranif di tempat ketiga dan Nur Aqilah Zulaikha Zainal Abidin di tempat keempat.

Bagi pertandingan Qasidah Al-Burdah, kumpulan Al-Madinah dinobatkan sebagai juara, manakala Az-Zahra di tempat kedua dan Raudah di tempat ketiga. Wardatul Muntaha pula menduduki tempat keempat, diikuti Al-Hijrah, Kompang, Silaturahim dan Anak Soleh.

Majlis turut memberi penghargaan kepada individu yang banyak menyumbang kepada masyarakat dan masjid menerusi penyampaian anugerah khas.

Awang Akub Mohd Amir menerima Anugerah Tokoh Semarak Patriotisme, manakala Wahab Doyot menerima Anugerah Tokoh Bakti Masjid atas sumbangan dan khidmat bakti mereka kepada masjid serta komuniti setempat.

Penganjuran program itu sekali gus memperlihatkan peranan masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, tetapi turut menjadi wadah memperkukuh hubungan sosial, semangat kejiranan dan perpaduan masyarakat.

RELATED ARTICLES
Utama

Akses rawatan pakar pergigian Sabah diperluas, tempoh menunggu dipendekkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular