BERNAMA
KOTA KINABALU: Pengoperasian Pusat Pakar Pergigian Sabah (PPPS) dapat memendekkan tempoh menunggu bagi rawatan pakar sehingga 50 peratus sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian di negeri ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penambahbaikkan itu bukan sahaja membolehkan pesakit menerima rawatan pergigian dengan kadar segera, malah juga dapat menjimatkan masa serta kos perjalanan ke fasiliti berkenaan.
“Semalam, saya berkesempatan menyempurnakan majlis perasmian PPPS. Ini merupakan pusat pakar pergigian kedua dirasmikan selepas Pusat Pakar Pergigian Negeri Sembilan.
“Ini jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperluas akses perkhidmatan penjagaan mulut bertaraf kepakaran buat seluruh rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Beliau berkata PPPS merupakan fasiliti rujukan kepakaran luar hospital yang pertama di Malaysia Timur dan berfungsi sebagai hab rujukan bagi penduduk Sabah, utara Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut Dr Dzulkefly, pembinaan pusat bernilai RM32.76 juta itu memberikan manfaat kepada kira-kira 3.95 juta penduduk seterusnya menterjemahkan komitmen kerajaan untuk memperluas akses perkhidmatan kesihatan pergigian dan meringankan beban pesakit.
Beliau berkata bagi memastikan rakyat mendapat rawatan bersepadu, PPPS menempatkan empat kepakaran utama iaitu pergigian restoratif, periodontik, ortodontik dan kesihatan awam pergigian di bawah satu bumbung.
“Fasiliti ini turut dilengkapi dengan 18 kerusi rawatan moden dan teknologi canggih seperti pencetak 3D untuk pembuatan gigi palsu (dentur) yang lebih pantas.
“Selain itu, kemudahan x-ray OPG turut disediakan bagi menguruskan kes-kes rawatan yang kompleks tanpa perlu menambah kesesakan di hospital awam,” katanya.- BERNAMA



