KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memperkukuh kesedaran dan amalan keselamatan makanan di Gunung Kinabalu menerusi Program Ekspedisi Puncak Bersih Makanan Selamat Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026.
Program selama tiga hari dari 2 hingga 4 September lalu itu memberi tumpuan kepada aspek kebersihan dan keselamatan makanan di premis makanan altitud tinggi, selain meningkatkan pengetahuan pengendali makanan, malim gunung, porter dan pendaki.
Ekspedisi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNS, Datin Ts. Doreen Girik Anthony Gorotud.
Pelbagai aktiviti pendidikan dan interaktif dilaksanakan sepanjang program, termasuk bimbingan amali di dapur kepada pengendali makanan, sesi taklimat serta hebahan maklumat berkaitan keselamatan makanan.
Program itu turut merangkumi rakaman video bagi mendokumentasikan amalan keselamatan makanan sepanjang proses pendakian.
Antara pengisian utama ialah Pertandingan Explorace Keselamatan Makanan yang dianjurkan bersempena Kempen Hari Keselamatan Makanan Sedunia (WFSD) 2026.
Pertandingan yang diadakan di sekitar Gunung Kinabalu itu menjadi pendekatan kreatif dalam menyampaikan mesej kesihatan awam serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengendalian makanan yang bersih dan selamat dalam kalangan pendaki serta komuniti yang terlibat.
Dalam program sama, pemeriksaan premis makanan turut dijalankan bagi menilai kelayakan pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS).
Hasil penilaian mendapati restoran Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq memenuhi semua kriteria yang ditetapkan dan berjaya menerima pengiktirafan BeSS.
JKNS mengucapkan tahniah kepada kedua-dua premis atas pencapaian itu dan berharap pengiktirafan berkenaan menjadi pemangkin untuk terus mengekalkan tahap kebersihan serta keselamatan makanan yang tinggi.
Usaha berkenaan penting bagi memastikan kebajikan dan keselamatan pendaki serta pengunjung sentiasa diberi keutamaan, khususnya di kawasan altitud tinggi Gunung Kinabalu.
JKNS turut merakamkan penghargaan kepada Taman-Taman Sabah dan Sutera Sanctuary Lodges atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
Kerjasama antara agensi kerajaan, pengusaha premis makanan dan pihak berkepentingan penting dalam memastikan standard kebersihan dan keselamatan makanan terus dipelihara di Gunung Kinabalu.



