KOTA KINABALU : Kota Kinabalu sekali lagi merekodkan bacaan Indeks Ultraungu (UV) pada tahap ekstrem hari ini, dengan bacaan melepasi paras 11.
berdasarkan pemantauan stesen Brewer #231 Jabatan Meteologi Malaysia (MetMalaysia), bacaan tersebut menunjukkan tahap pendedahan kepada sinaran ultraungu yang sangat tinggi, terutama pada tempoh lewat pagi hingga tengah hari apabila kedudukan matahari berada lebih tinggi.
Berdasarkan graf pemantauan hari ini, indeks UV di Kota Kinabalu mula meningkat dengan ketara sekitar jam 8 pagi sebelum memasuki kategori tinggi kira-kira jam 10 pagi.
Bacaan terus meningkat selepas itu dan melepasi paras 11, yang merupakan ambang kategori ekstrem, sekitar jam 11.30 pagi.
Indeks UV kemudiannya mencecah sekitar 12 antara tengah hari hingga kira-kira jam 12.30 tengah hari, menunjukkan keadaan pendedahan sinaran UV yang sangat tinggi dalam tempoh berkenaan.
Mengikut klasifikasi indeks UV, bacaan 0 hingga 2 dikategorikan sebagai rendah, 3 hingga 5 sederhana, 6 hingga 7 tinggi, 8 hingga 10 sangat tinggi, manakala 11 dan ke atas berada dalam kategori ekstrem.
Keadaan itu memerlukan orang ramai, khususnya mereka yang melakukan aktiviti di luar, supaya mengambil langkah perlindungan sewajarnya bagi mengurangkan pendedahan secara langsung kepada cahaya matahari.
Pendedahan berlebihan kepada sinaran UV boleh meningkatkan risiko kerosakan pada kulit dan mata, terutama apabila seseorang berada di bawah cahaya matahari untuk tempoh yang panjang tanpa perlindungan.
Kanak-kanak, warga emas serta individu yang bekerja atau menjalankan aktiviti luar turut disaran mengambil perhatian terhadap keadaan tersebut dan mengehadkan tempoh berada di bawah cahaya matahari ketika bacaan UV berada pada tahap sangat tinggi atau ekstrem.
Antara langkah perlindungan yang boleh diamalkan termasuk memakai pakaian yang menutupi kulit, menggunakan topi atau payung, memakai pelindung matahari serta cermin mata hitam yang mempunyai perlindungan terhadap sinaran UV.
Orang ramai juga digalakkan mendapatkan tempat teduh dan mengurangkan aktiviti luar yang tidak perlu, terutama sekitar waktu tengah hari ketika bacaan UV lazimnya berada pada tahap tertinggi.
Selain Kota Kinabalu, beberapa stesen pemantauan lain termasuk Sibu, Petaling Jaya, Kota Bharu, Senai dan Bayan Lepas turut merekodkan bacaan UV pada tahap berbeza hari ini.
Namun, Kota Kinabalu antara lokasi yang menunjukkan bacaan sehingga mencapai kategori ekstrem, sekali gus menuntut orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap risiko pendedahan sinaran UV ketika melakukan aktiviti di luar.



