KOTA KINABALU : Politeknik Kota Kinabalu (PKK) terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu utama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama strategik dengan pihak industri bagi melahirkan modal insan berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa kini.
Usaha itu direalisasikan menerusi Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Panel Penasihat Industri (IAP) dan Sijil Kolaborasi Rakan Strategik PKK yang berlangsung di Dewan Rafflesia, PKK, di sini hari ini.
Majlis berkenaan menyaksikan kehadiran 51 Panel Penasihat Industri, dengan 28 daripadanya menerima Sijil Watikah Pelantikan baharu, manakala 17 syarikat dan agensi pula diraikan sebagai rakan kolaborasi strategik baharu PKK.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Datuk Seri Hashim Paijan berkata, penyatuan kepakaran akademik dan industri amat penting bagi memastikan program pengajian yang ditawarkan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi serta kehendak pasaran pekerjaan.
Menurut beliau, peralihan dunia daripada era Industri 4.0 kepada Industri 5.0 menuntut tenaga kerja bukan sahaja menguasai teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan Internet of Things (IoT), malah memiliki kemahiran insaniah yang kukuh.

“Mesin mungkin mampu memproses jutaan data dalam sesaat, namun empati, daya penyelesaian masalah yang kompleks, kreativiti dan integriti adalah kualiti kemanusiaan yang tidak mampu digantikan oleh mana-mana robot.
“Oleh itu, graduan masa depan mesti seimbang; mereka wajib mahir menguasai teknologi, tetapi harus kekal berjiwa kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan yang turut menghimpunkan wakil industri, warga akademik dan pengurusan PKK.
Hashim berkata, kerjasama erat antara institusi pendidikan, sektor industri dan kerajaan merupakan antara teras penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Sabah, khususnya menerusi agenda pembangunan Koridor Pembangunan Sabah yang diterajui SEDIA.
Katanya, sinergi menerusi pelantikan IAP dan jalinan rakan strategik itu meliputi pelbagai bidang utama di PKK termasuk Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Perdagangan serta Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.
“Penglibatan pihak industri dalam ekosistem pendidikan membolehkan institusi TVET mendapatkan pandangan dan maklum balas secara langsung berkaitan keperluan sebenar industri.
“Ini penting supaya kurikulum, kemahiran dan kompetensi yang diterapkan kepada pelajar sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi serta perubahan dalam dunia pekerjaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pembangunan bakat tempatan berkualiti memerlukan perancangan teliti dan tempoh yang panjang, berbanding proses mendapatkan mesin atau perisian berteknologi tinggi.
Sehubungan itu, katanya, pelantikan IAP secara berperingkat menjadi jambatan penting bagi memastikan kurikulum pengajian di politeknik sentiasa ditambah baik berdasarkan piawaian dan keperluan industri.
Langkah berkenaan sekali gus mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memastikan mereka lebih bersedia memasuki alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
“Apabila dunia akademik dan industri berjalan seiring, kita bukan sahaja melahirkan graduan yang pandai, tetapi kita sedang membina masa depan negara,” katanya.



