HomeUtamaPPM tumpaskan penyelewengan diesel bernilai RM130,760

PPM tumpaskan penyelewengan diesel bernilai RM130,760

Read Time:1 Minute, 17 Second

SANDAKAN: Kegiatan disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi bernilai RM130,760 ditumpaskan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam satu operasi di sebuah jeti di sini.

Operasi oleh PPM Sandakan itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun serta rampasan sebuah kapal kargo dan lori tangki.

Bertindak atas maklumat orang awam, pasukan berkenaan menjalankan risikan kira-kira jam 3.55 petang sebelum mengesan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan lanjut mendapati minyak diesel sedang dipindahkan dari sebuah kapal kargo ke lori tangki berkenaan.

Dua lelaki berkenaan kemudian ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber bekalan minyak diesel daripada pembekal yang sah.

Dalam operasi itu, PPM merampas sebuah kapal kargo jenis besi, sebuah lori tangki Nissan Diesel berkapasiti 15,000 liter, kira-kira 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.

Keseluruhan rampasan termasuk kapal, kenderaan dan peralatan lain dianggarkan bernilai RM2,082,760.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan pihaknya akan terus memperhebat risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barangan kawalan serta memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan atau diseleweng untuk kepentingan pihak tertentu.

“Kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan amat dihargai dan menjadi elemen penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga September 2026, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 112 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, membabitkan 103 tangkapan dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM25,869,045.30.

RELATED ARTICLES
Utama

Perdana Menteri hadir makan malam sempena mesyuarat MTPMA63

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular