KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menghadiri Majlis Tahlil, Doa Selamat, Solat Hajat dan Solat Jumaat sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 di Masjid Negeri Sabah (MNS), di sini, pada Jumaat.
Tun Musa tiba kira-kira jam 11.30 pagi dan disambut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Timbalan Yang di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad; Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar serta Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Suhaidi Kuanting.
Majlis yang disertai lebih 1,000 jemaah itu dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil sebelum diteruskan dengan solat Jumaat serta solat hajat yang diimamkan Suhaidi.
Tazkirah ringkas dan doa selamat pula dipimpin Bungsu.
Khutbah Jumaat bertajuk “Hari Malaysia: Nikmat Keamanan, Amanah Bersama” disampaikan Malai Ali yang antara lain mengajak umat Islam mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi, selain bersama-sama memelihara keharmonian, perpaduan dan hubungan baik dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, Hari Malaysia bukan sekadar memperingati pembentukan Malaysia pada 1963, malah menjadi ruang untuk masyarakat bermuhasabah serta menghargai keamanan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya menjadikan keamanan dan perpaduan sebagai tanggungjawab bersama bagi memastikan keharmonian negara terus dipelihara.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Awang Juri Ag Tahir.



