KOTA KINABALU: Seramai 6,171 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke program prasiswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi akademik 2026/2027.
Pendaftaran pelajar baharu bagi sesi berkenaan bermula hari ini hingga esok, di kampus UMS di seluruh Sabah.
UMS dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah berkenaan, seramai 5,251 pelajar tempatan ditempatkan di Kampus Kota Kinabalu, manakala 698 pelajar di Kampus Antarabangsa Labuan dan 222 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.

“Jumlah ini merangkumi 4,325 pelajar dari Sabah, 1,021 dari Semenanjung Malaysia, 529 dari Sarawak dan 81 dari Wilayah Persekutuan Labuan.
“Seramai 215 pelajar pula merupakan pelajar antarabangsa dari 12 negara, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Sweden, Arab Saudi, Yemen, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia, Filipina dan Timor-Leste,” menurut kenyataan itu di sini pada Sabtu.
Pengambilan pelajar bagi sesi berkenaan turut merangkumi tawaran prasiswazah melalui laluan khas UMS, termasuk 3,380 pelajar daripada golongan B40 ambilan UPUOnline.

Selain itu, seramai 14 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), lapan pelajar Orang Asli dan 15 atlet sukan turut menerima tawaran melalui laluan khas berkenaan.
Pendaftaran pelajar baharu berlangsung selama dua hari, manakala semua pelajar yang telah mendaftar akan mengikuti program Minggu Suai Mesra (MSM) selama seminggu bermula Isnin ini.
Program berkenaan bertujuan membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran serta kehidupan di kampus, selain memberi pendedahan berkaitan sistem pembelajaran dan kemudahan yang disediakan universiti.
Sementara itu, tinjauan pada hari pendaftaran mendapati urusan pendaftaran di setiap kolej kediaman berlangsung dalam keadaan baik dan teratur.
Kelancaran itu turut dibantu melalui penambahbaikan pengurusan masa pendaftaran dengan menetapkan slot waktu berbeza bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.
Para pelajar baharu dan keluarga yang hadir turut dibantu sukarelawan Pembimbing Suai Mesra (PSM) yang bertugas sepanjang tempoh pendaftaran.
Turut meninjau dan menyantuni pelajar baharu serta keluarga ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Datuk Dr. Rossita Shapawi; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Raman Noordin; Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin dan Penasihat Undang-Undang UMS, Awang Suhaizam Bungso.



