KOTA KINABALU: Ibu bapa, pengurusan sekolah dan komuniti perlu berganding bahu dalam menangani ancaman buli siber yang semakin mencabar keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak dan remaja di alam digital.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, buli siber tidak mengenal masa dan tempat, malah boleh terus berlaku walaupun seseorang murid sudah berada di rumah.
Menurutnya, berbeza dengan buli secara fizikal di sekolah yang lazimnya berakhir apabila murid pulang ke rumah, buli siber boleh terus mengekori mangsa melalui telefon, media sosial dan pelbagai platform digital.
“Buli di sekolah mungkin berhenti apabila anak pulang, tetapi buli siber boleh mengikut anak sampai ke rumah. Apa yang berlaku di alam maya boleh memberi kesan sebenar terhadap emosi, pembelajaran dan kesejahteraan mereka.
“Apabila anak datang mengadu, jangan terus marah atau menyalahkan mereka. Dengar dahulu, lindungi anak, simpan bukti dan laporkan melalui saluran yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panelis Forum “Hentikan Buli Siber” sempena Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Konvensyen bertemakan “Internet Selamat, Tanggungjawab Semua” itu dianjurkan Yayasan GoStrong Malaysia bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari empat daerah iaitu Kota Kinabalu, Papar, Penampang dan Tuaran, yang terdiri daripada Focal Person PIBKS Daerah, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ahli Jawatankuasa PIBG, pengetua, guru besar serta guru.
Mohammad Arif berkata, penglibatan pelbagai pihak amat penting kerana usaha menangani buli siber tidak boleh diletakkan di bahu pihak sekolah atau ibu bapa semata-mata.
Katanya, PIBG dan PIBKS boleh memainkan peranan sebagai penghubung antara ibu bapa, sekolah dan komuniti bagi memastikan isu buli siber ditangani secara menyeluruh.
“PIBG dan PIBKS boleh menjadi jambatan yang menghubungkan ibu bapa, sekolah dan komuniti.
“Kita bukan mengambil alih tugas pentadbir sekolah, kaunselor atau pihak berkuasa, tetapi membantu memastikan aduan disalurkan
melalui saluran yang betul dan kebajikan mangsa sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti digital anak-anak, selain mewujudkan suasana di rumah yang membolehkan mereka berasa selamat untuk berkongsi masalah yang dihadapi.
Menurutnya, komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak penting bagi membolehkan sebarang tanda awal tekanan atau gangguan dikenal pasti sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadi sebahagian daripada rantaian buli siber dengan menyebarkan semula gambar, video, komen atau kandungan yang boleh mengaibkan serta memalukan seseorang.
“Jangan jadi pembuli, jangan jadi penyebar dan jangan berdiam diri apabila melihat buli siber. Internet selamat adalah tanggungjawab kita semua,” katanya.



