HomeUtamaGagasan Rakyat sokong pendirian Hajiji, hak 40 peratus Sabah perlu diselesaikan segera

Gagasan Rakyat sokong pendirian Hajiji, hak 40 peratus Sabah perlu diselesaikan segera

Read Time:2 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah bukan lagi perkara yang boleh ditangguhkan, sebaliknya perlu dimuktamadkan segera oleh Kerajaan Persekutuan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pendirian itu selari dengan ketegasan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor, yang terus mendesak supaya hak Sabah diberikan penyelesaian yang nyata, bukan sekadar melalui rundingan berterusan.

Katanya, bayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah merupakan perkembangan positif, namun ia tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad kepada tuntutan 40 peratus yang menjadi hak negeri itu.

“Tuntutan 40 peratus bukan tuntutan baharu dan bukan juga soal ihsan daripada mana-mana pihak. Ia merupakan hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya diselesaikan dengan penuh tanggungjawab serta adil, selaras dengan semangat sebenar pembentukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nizam berkata, Gagasan Rakyat mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini sebagai satu perkembangan positif hasil rundingan berterusan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, bayaran interim berkenaan tidak menutup tuntutan hak 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan seperti ditegaskan Hajiji.

“Bayaran interim ini tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti kepada tuntutan 40 peratus. Perkara itu masih perlu diselesaikan dan dimuktamadkan,” katanya.

Dalam pada itu, Gagasan Rakyat turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.

Nizam berkata, suara Sabah perlu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam institusi Parlimen, selaras dengan kedudukan dan semangat Sabah serta Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada 1963.

Katanya, Gagasan Rakyat turut menyokong usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta penyelesaian perkara lain yang masih tertangguh di bawah MA63.

“Semua ini mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dan kemampuan negeri untuk menentukan serta mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan,” katanya.

Nizam berkata, pendekatan yang dibawa Hajiji selama ini jelas, iaitu tegas mempertahankan hak Sabah tetapi pada masa sama memilih jalan rundingan, kerjasama dan hubungan kerajaan dengan kerajaan bagi menghasilkan penyelesaian yang konkrit.

Menurutnya, pendekatan berkenaan telah menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan perlu diteruskan sehingga semua perkara yang masih tertangguh dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Bagi Gagasan Rakyat, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian. Apa juga yang menjadi hak negeri dan rakyat Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten.

“Kita menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan mengenai perkara-perkara yang belum selesai,” katanya.

Beliau berkata, Gagasan Rakyat berdiri teguh bersama Hajiji dalam pendirian bahawa penyelesaian hak 40 peratus Sabah perlu diberikan keutamaan dan disegerakan.

“Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya. Kita hanya mahu apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan dengan adil, konsisten dan penuh tanggungjawab,” katanya.

Nizam menegaskan, perjuangan terhadap hak Sabah perlu dilaksanakan secara berterusan tanpa dipengaruhi kepentingan politik kepartian kerana ia membabitkan kepentingan negeri serta masa depan rakyat Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

SMD bawa mesej disiplin, keselamatan jalan raya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular