Oleh Normimie Diun
PUTATAN: Kerajaan Persekutuan digesa mengumumkan keputusan berhubung pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), supaya pelaksanaannya tidak dilihat dipengaruhi atau dikaitkan dengan kepentingan politik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, berkata keputusan mengenai tuntutan dan pelaksanaan MA63 perlu dibuat berdasarkan kepentingan rakyat serta semangat perjanjian itu, bukannya kerana pilihan raya yang semakin hampir.
“Saya sudah berumur 67 tahun dan saya menyokong kuat kerajaan. Saya mahu kerajaan pada hari ini melakukan sebaik mungkin dan bijak untuk memastikan semangat MA63 dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Kita sudah beri masa sebaik-baiknya dan secukup-cukupnya. Kita mahu keputusan MA63 ini diumumkan sebelum pilihan raya.
“Kita tidak mahu keputusan ini diumumkan kerana pilihan raya atau menjelang pilihan raya. Kita mahu ia diumumkan lebih awal kerana tidak mahu keputusan ini ada kaitan dengan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Pertandingan Memancing Terbuka Daerah Putatan di Sungai Petagas, Kampung Petagas, di sini, pada Sabtu.
Awang Ahmad berkata, perkara berkaitan MA63 perlu diselesaikan bagi memenuhi tuntutan yang masih belum selesai dan memberi keyakinan kepada rakyat Sabah terhadap komitmen kerajaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata tumpuannya di kawasan Petagas turut diberikan kepada usaha membantu golongan berpendapatan rendah, termasuk melalui pembinaan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, sebanyak 88 buah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) diperuntukkan untuk kawasan Petagas pada tahun ini bagi membantu rakyat yang layak.
“Saya fokus kepada membantu rakyat termiskin dan membantu mereka yang layak mendapatkan Rumah SMJ. Saya mahu rakyat Petagas tahu, peruntukan pembinaan Rumah SMJ pada tahun ini adalah sebanyak 88 buah rumah di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata usaha membantu anak-anak di kawasan itu turut diteruskan menerusi pemberian biasiswa, komputer dan bantuan kewangan mengikut kemampuan.
“Ini adalah perjuangan yang perlu diteruskan untuk memastikan anak-anak dan cucu-cucu kita berjaya dalam pelajaran,” katanya.
Awang Ahmad Sah turut merakamkan penghargaan kepada rakyat yang terus memberikan sokongan kepadanya selepas dipilih sebagai calon Bebas, selain menegaskan kepentingan kestabilan dalam kepimpinan kerajaan.
Menurutnya, kestabilan kepimpinan penting bagi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat dapat diteruskan.
“Saya berterima kasih kepada rakyat kerana menyokong dan mengundi saya sebagai calon Bebas. Saya tidak mengecewakan rakyat kerana saya menyokong kerajaan yang ada pada hari ini.
“Politik ini tidak akan selesai, tetapi pimpinan tidak akan stabil kalau kita tidak stabil dalam pimpinan. Pimpinan perlu stabil dan justeru itu, kita harus memilih mereka yang betul-betul layak untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Sementara itu, Pertandingan Memancing Terbuka Daerah Putatan itu dianjurkan bersama Biro Belia, Sukan dan Sukarelawan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru, Dopo N23 Petagas serta Kelab Memancing Petagas Angler’s.
Majlis penutupan disempurnakan Awang Ahmad Sah yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB).



