KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas tersepit dalam sebuah kenderaan dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan dan sebuah motosikal di jejambat (flyover) menghala ke Luyang, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.33 pagi itu, mangsa dilaporkan tersepit di dalam sebuah Toyota Hilux yang dipandunya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas menerima panggilan kecemasan sebelum jentera bersama enam anggota tiba di lokasi pada jam 6.41 pagi.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas penyelamatan bagi mengeluarkan seorang mangsa lelaki yang tersepit di dalam kenderaannya.
“Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 7.55 pagi selepas keadaan di lokasi kejadian dipastikan selamat.



