PAPAR: Projek Menaik Taraf Muka Sauk Kabang kini mencapai kemajuan fizikal 94 peratus, dengan baki kerja kritikal sedang dilaksanakan menerusi Pelan Percepatan selama 21 hari bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat beroperasi mengikut jadual.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau bersama rakan-rakan wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Parlimen Papar hari ini turun padang meninjau perkembangan projek, khususnya kerja-kerja akhir di kawasan muka sauk.
Katanya, Timbalan Ketua Menteri l merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam turut hadir selepas mendapat makluman mengenai lawatan berkenaan.
Menurut Armizan, taklimat yang diterima turut merangkumi baki kerja serta Pelan Percepatan 21 hari yang telah mula dilaksanakan.
“Baki kerja kini hanya sekitar enam peratus, namun ia melibatkan komponen penting yang perlu disiapkan sebelum kapasiti naik taraf ini dapat beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Projek yang dimulakan pada 10 Mac 2025 itu menaik taraf kapasiti Muka Sauk Kabang daripada sembilan juta liter kepada 30 juta liter sehari, sekali gus menyediakan sumber air mentah alternatif kepada Loji Rawatan Air Limbahau dan Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS).
Armizan berkata, sumber alternatif itu amat penting apabila sumber air di Muka Sauk Limbahau terjejas akibat kadar kemasinan, kekeruhan atau kandungan ammonia yang melebihi tahap selamat.
“Apabila sumber air di Muka Sauk Limbahau terjejas, air mentah dari Muka Sauk Kabang boleh digunakan bagi membantu memastikan kedua-dua loji terus beroperasi,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan projek sebelum ini berdepan beberapa kekangan termasuk keadaan cuaca, paras sungai dan keadaan sumber air mentah.
Katanya, kerja di tapak pernah terhenti selama 46 hari akibat masalah saliniti, selain berdepan 71 hari hujan.
Dalam keadaan tertentu, Muka Sauk Kabang sedia ada juga perlu terus digunakan bagi memastikan bekalan air mentah kepada kedua-dua loji tidak terputus.
Armizan berkata Pelan Percepatan 21 hari itu kini memasuki fasa pelaksanaan, dengan kerja bagi tiga hari pertama melibatkan proses mengosongkan kolam serta pembinaan dinding struktur muka sauk.
Kerja seterusnya merangkumi pembinaan tapak pam, pemasangan pam, penyambungan paip serta pengujian sistem.
Katanya, bagi membolehkan semua kerja kritikal itu disiapkan, kolam perlu dikosongkan dan Muka Sauk Kabang sedia ada tidak dapat digunakan sepanjang 16 hari pertama pelan berkenaan.
Operasi paip Muka Sauk Kabang sedia ada kemudiannya perlu dihentikan sementara bagi kerja penyambungan paip ke Loji Rawatan Air Limbahau pada hari ke-17 hingga ke-19.
Dua hari terakhir pula diperuntukkan bagi melengkapkan proses pengujian dan pentauliahan sebelum sistem baharu boleh mula beroperasi.
Bagaimanapun, Armizan menjelaskan penutupan sementara Muka Sauk Kabang tidak bermakna gangguan bekalan air akan berlaku sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, Loji Rawatan Air Limbahau dan EWSS masih boleh beroperasi menggunakan sumber air mentah dari Muka Sauk Limbahau selagi kualiti air berada pada tahap sesuai untuk dirawat.
Namun, sekiranya kandungan klorida meningkat sehingga sumber air mentah tidak lagi sesuai dirawat, pengeluaran air berkemungkinan berkurangan dan boleh menyebabkan tekanan rendah atau gangguan bekalan sementara di beberapa kawasan.
“Kita amat memahami bahawa gangguan air berlarutan di sebahagian kawasan bukanlah perkara kecil kepada masyarakat kerana ia memberi kesan kepada urusan keluarga, persekolahan anak-anak, perniagaan, kesihatan dan keseluruhan rutin harian.
“Sebab itu, risiko sepanjang pelaksanaan kerja ini tidak boleh dipandang ringan dan setiap langkah persediaan perlu dibuat lebih awal,” katanya.
Armizan berkata sekiranya berlaku gangguan dalam tempoh penutupan sementara Muka Sauk Kabang, penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki serta pengisian tangki statik di kawasan terjejas akan diselaraskan.
Beliau berkata Pelan Percepatan berkenaan perlu diselesaikan mengikut jadual bagi memastikan projek itu dapat dimanfaatkan dan mengurangkan risiko gangguan bekalan air yang lebih berpanjangan pada masa hadapan.
“Keutamaan kita adalah memastikan baki kerja disiapkan mengikut jadual, pada masa yang sama meminimumkan kesannya kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, apabila siap kelak, Muka Sauk Kabang akan menjadi antara komponen penting dalam usaha membina sistem bekalan air yang lebih stabil dan berdaya tahan untuk daerah Papar.
“Usaha ini mungkin melibatkan kesulitan sementara, tetapi ia perlu dilaksanakan demi mengurangkan risiko gangguan yang lebih berpanjangan pada masa hadapan,” katanya.



