KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa menyegerakan pelaksanaan pembayaran 40 peratus hasil bersih Sabah serta memuktamadkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Naib Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sepanggar, Datuk Dr. Roland Chia Ming Shen, berkata kedua-dua perkara itu perlu diberi keutamaan bagi memastikan hak dan kepentingan Sabah dalam Persekutuan terus terpelihara.
Dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia ke-63 pada 16 September 2026, beliau menegaskan bahawa perkara berkenaan bukan sekadar tuntutan politik, sebaliknya berkaitan hak perlembagaan serta komitmen ketika pembentukan Malaysia pada 1963.
Menurutnya, penyelesaian isu 40 peratus hasil bersih yang dipungut Kerajaan Persekutuan dari Sabah perlu dilaksanakan secara telus dengan jadual pembayaran yang jelas.
“Kerajaan Persekutuan digesa menetapkan satu garis masa pembayaran yang teratur dan mengelakkan sebarang kelewatan berpanjangan,” katanya.
Roland berkata dana berkenaan amat diperlukan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur asas, termasuk bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya, selain meningkatkan taraf hidup penduduk bandar serta luar bandar.
Katanya, pelaksanaan pembayaran itu juga penting untuk merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dengan Semenanjung, termasuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan Parlimen Sepanggar.
Mengenai perwakilan di Dewan Rakyat, beliau menggesa supaya jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 35 peratus daripada keseluruhan kerusi.
Beliau berkata langkah persempadanan semula dan penambahan kerusi Parlimen Sabah perlu direalisasikan serta diwartakan sebelum PRU-16 bagi memastikan perwakilan negeri itu lebih adil dan berkesan.
Menurutnya, Sepanggar antara kawasan yang memerlukan perhatian berikutan pertumbuhan pesat penduduk dan pemilih berdaftar, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap perkhidmatan wakil rakyat yang lebih terfokus.
Dalam pada itu, Roland yang juga Penyelaras Gagasan Rakyat DUN Inanam berkata, Gagasan Rakyat Sepanggar di bawah kepimpinan Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi akan terus menyokong usaha Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mempertahankan hak negeri.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan itu akan diteruskan secara berhemah tetapi tegas.
Roland turut berharap Kerajaan Persekutuan menterjemahkan komitmen terhadap semangat Kerajaan Perpaduan dan Malaysia MADANI melalui keputusan serta jadual pelaksanaan rasmi bagi kedua-dua perkara berkenaan dalam masa terdekat.



