HomeUtamaSokongan ibu bapa pemangkin kejayaan pendidikan anak

Sokongan ibu bapa pemangkin kejayaan pendidikan anak

Read Time:2 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Pendidikan anak-anak tidak seharusnya terhenti selepas menamatkan persekolahan di peringkat rendah atau menengah, sebaliknya mereka perlu terus diberikan dorongan dan peluang untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran, berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan, dorongan dan keyakinan kepada anak-anak supaya terus belajar serta berani memasang cita-cita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Pendidikan bukan sekadar memastikan anak-anak kita bersekolah di peringkat rendah dan menengah. Kita mahu mereka terus melangkah dan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Arif Sakaran

“Ibu bapa perlu sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak untuk mencapai cita-cita mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya yang diteruskan sehingga Sambutan Ambang Hari Malaysia.

Mohammad Arif berkata, anak-anak Pulau Gaya mempunyai potensi untuk berjaya dan mampu bersaing, justeru faktor tempat tinggal atau latar belakang keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mereka mengejar pendidikan.

“Anak-anak Pulau Gaya juga mempunyai potensi dan mampu bersaing. Jangan jadikan faktor tempat tinggal atau latar belakang sebagai penghalang untuk mengejar pendidikan dan mencipta kejayaan,” katanya.

Beliau turut menyeru ibu bapa dan pelajar supaya mendapatkan maklumat serta memanfaatkan bantuan pendidikan yang disediakan Kerajaan Negeri Sabah melalui tabung pendidikan negeri, tertakluk kepada syarat dan kelayakan ditetapkan.

“Ambillah peluang yang disediakan. Jangan biarkan kekangan kewangan mematahkan semangat anak-anak untuk meneruskan pengajian.

“Apa yang penting, anak-anak mempunyai kemahuan untuk belajar dan ibu bapa terus memberikan sokongan kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, kejayaan dalam bidang pendidikan memerlukan kerjasama erat antara pelajar, ibu bapa, pihak sekolah, komuniti dan kerajaan bagi memastikan setiap anak mendapat peluang membina masa depan yang lebih baik.

Dalam pada itu, Mohammad Arif turut menegaskan kepentingan memupuk semangat patriotik sejak di bangku sekolah supaya generasi muda bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, malah mempunyai jati diri, rasa cinta terhadap negara dan menghargai perpaduan.

“Semangat patriotik perlu dipupuk sejak bangku sekolah. Pendidikan bukan sahaja mengenai pencapaian akademik, tetapi juga membentuk anak-anak yang mempunyai jati diri, menghormati antara satu sama lain serta memahami tanggungjawab mereka kepada masyarakat, negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata, sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah penting untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta memberikan kefahaman kepada generasi muda mengenai nilai keamanan, keharmonian dan perpaduan.

Beliau turut merakamkan tahniah dan syabas kepada SMK Pulau Gaya kerana berjaya menjayakan program berkenaan dalam suasana meriah dan tersusun, selain memberi perhatian terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan semua yang hadir.

“Semoga anak-anak Pulau Gaya terus berani memasang impian yang tinggi. Belajarlah bersungguh-sungguh dan rebutlah setiap peluang pendidikan yang ada.

“Insya-Allah, anak-anak Pulau Gaya mampu melangkah ke institusi pengajian tinggi dan mencipta kejayaan,” katanya.

Turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu Zanalan Karbain; Pengetua SMK Pulau Gaya Azlan Saflie dan Yang Dipertua PIBG SMK Pulau Gaya Kanchi Abdullah.

Program berkenaan berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat patriotik sehingga Sambutan Ambang Hari Malaysia.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Pandangan : Mengapa 16 September Begitu Penting

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular