HomeUtamaTinggal lebih masa di Sabah, dua warga Pakistan dihukum

Tinggal lebih masa di Sabah, dua warga Pakistan dihukum

Read Time:1 Minute, 14 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Dua lelaki warga Pakistan masing-masing dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas tinggal di Sabah melebihi tempoh yang dibenarkan.

Usman Shah, 29, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dari tarikh tangkap, manakala Muhammad Ayaz, 31, didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Usman tinggal di Malaysia lebih dua tahun selepas Pas Lawatan Sosial yang dikeluarkan kepadanya tamat tempoh pada 12 Januari 2024.

Kesalahan itu dilakukan pada 3 September lalu, kira-kira jam 10.45 malam, di sebuah kedai runcit di Kampung Pulutan, Manggatal.

Muhammad juga telah tinggal lebih masa selama lebih dua tahun selepas Pas Lawatan Sosial yang dikeluarkan kepadanya tamat tempoh pada 9 Oktober 2023.

Dia ditahan pada 3 September lalu, kira-kira jam 1.04 petang, di sebuah premis di Putatan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tujuh lagi warga asing, terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita warga Filipina serta seorang wanita warga Indonesia, dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkap.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan turut diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya selepas menjalani hukuman.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Imigresen Chin Tze Mee di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.

RELATED ARTICLES
Utama

Landasan KKIA ditutup sementara bagi kerja pembaikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular