SANDAKAN: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.7 pada skala Richter berlaku di kawasan Borneo pada jam 10.30 malam tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, gempa bumi itu berpusat pada koordinat 6.6 darjah Utara dan 118.3 darjah Timur.
Menurut kenyataan itu, pusat gempa berkenaan terletak kira-kira 354 kilometer (km) selatan Palawan, Filipina dan 88km utara Sandakan, Sabah.
Gempa bumi tersebut direkodkan pada kedalaman 392km.
MetMalaysia memaklumkan, kejadian berkenaan bagaimanapun tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada Malaysia.
Orang ramai, khususnya di kawasan berhampiran Sandakan, dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat berkaitan gempa bumi dan sebarang perkembangan terkini menerusi saluran rasmi MetMalaysia.
Maklumat berhubung kejadian turut boleh diperoleh menerusi portal mygempa.met.gov.my.
MetMalaysia terus memantau aktiviti seismik dan akan mengeluarkan maklumat terkini sekiranya terdapat perkembangan berkaitan kejadian berkenaan. – SABAH MEDIA



