KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC), syarikat tenaga bersepadu milik kerajaan negeri Sabah yang menerajui pembangunan sumber tenaga negeri, berjaya menerbitkan sukuk sulung bernilai RM350 juta di bawah Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion.
Penerbitan sulung SEC dalam pasaran modal sukuk Malaysia itu menjadi satu pencapaian penting bagi syarikat berkenaan dalam memperkukuh keupayaan pembiayaan jangka panjang.
Sukuk berkenaan menerima penarafan jangka panjang AAA dengan prospek stabil daripada RAM Rating Services Berhad.
Ia turut berjaya ditetapkan harganya menerusi proses pembinaan buku pesanan, yang merupakan kali pertama dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri Sabah, selain menerima lebihan langganan sebanyak 2.2 kali.
Prestasi itu dicapai meskipun keadaan pasaran berdepan ketidaktentuan susulan peningkatan ketegangan geopolitik.
Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama Tunggal, Pengatur Utama Tunggal, Pengurus Utama Tunggal, Penasihat Penstrukturan Kelestarian Tunggal, Penasihat Syariah dan Ejen Kemudahan bagi transaksi berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir. Adzmir Abd Rahman, berkata penerbitan sulung itu menandakan penubuhan Program Sukuk Wakalah pertama syarikat yang menyediakan platform pembiayaan berskala dan fleksibel.
Katanya, platform berkenaan akan menyokong agenda PETA 2030 SEC dalam memperkukuh teras gas dan infrastruktur, memperluas penjanaan tenaga serta tenaga boleh diperbaharui, selain membolehkan pelaburan secara berdisiplin di sepanjang rantaian nilai tenaga Sabah.
“Secara tidak langsung, ia menyokong hasil lebih luas yang digariskan menerusi SERAMP 2040, termasuk memperkukuh keselamatan tenaga, mempercepatkan peralihan tenaga dan memastikan bekalan tenaga yang lebih dipercayai untuk Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Investment Banking, Michael Oh-Lau, berkata penerbitan berkenaan memperluas dan mempelbagaikan akses SEC kepada pembiayaan Ringgit jangka panjang.
Katanya, transaksi itu turut meningkatkan profil SEC dan Sabah dalam kalangan pelabur institusi domestik serta antarabangsa.
“Lebihan langganan yang kukuh mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kekuatan kredit dan hala tuju pertumbuhan SEC.
“Kami berbangga dapat menyokong pembangunan infrastruktur Sabah serta kedudukan negeri ini dalam ekosistem tenaga ASEAN,” katanya.
Peranan Maybank dalam transaksi itu turut melanjutkan rekod prestasinya yang merangkumi pengiktirafan sebagai Bank Terbaik untuk Korporat Besar di ASEAN dan Malaysia, Bank Pelaburan Terbaik bagi Pasaran Modal Hutang serta Bank Terbaik di Malaysia pada Euromoney Awards for Excellence 2026.
Sehingga kini, Maybank menduduki tempat pertama dalam semua jadual liga pengurus utama Bloomberg bagi penerbitan Ringgit dalam pasaran modal hutang dan sukuk.
SEC yang dikorporatkan pada 1997 di bawah rangka kerja Sabah Energy Corporation (Successor Company), berkembang daripada sebuah syarikat utiliti gas kepada kumpulan tenaga yang lebih pelbagai dan bersepadu secara menegak.
Ketika ini, SEC memainkan peranan penting dalam ekosistem tenaga Sabah sebagai satu-satunya pengagregat, pengangkut dan pengedar gas asli negeri, selain mempunyai kepentingan dalam infrastruktur gas asli, penjanaan tenaga, tenaga boleh diperbaharui serta perkhidmatan sokongan minyak dan gas luar pesisir.



