KOTA KINABALU: Sabah Development Berhad (SDBHD) terus memperkukuh strategi perniagaan dengan meneroka bidang baharu yang berpotensi menjana pendapatan syarikat serta memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi Sabah.
Usaha itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Pengerusi SDBHD, Datuk Dr Yusof Yacob, kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, di sini pada Jumaat.
Kunjungan itu turut disertai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SDBHD, Nixon Abdul Habi.
Pertemuan berkenaan antara lain bertujuan memberi penerangan kepada Ketua Menteri mengenai pelan perniagaan syarikat yang sedang dilaksanakan, selain perancangan meneroka bidang baharu bagi memperkukuh sumber pendapatan SDBHD.
Langkah berkenaan dilihat penting dalam meningkatkan keupayaan syarikat menjana keuntungan secara berterusan, sekali gus membolehkan SDBHD menyumbang dividen kepada Kerajaan Negeri.
Pada masa sama, pengembangan bidang perniagaan turut berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta mewujudkan limpahan ekonomi yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Dalam pertemuan itu, Hajiji menyatakan sokongan terhadap usaha SDBHD untuk meneroka bidang perniagaan baharu yang mempunyai potensi meningkatkan pendapatan syarikat dan menyumbang kepada pembangunan negeri.
Beliau berkata, setiap langkah pengembangan perniagaan perlu dilaksanakan secara strategik dengan mengambil kira potensi dan keperluan semasa, selain memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Hajiji turut menekankan supaya bidang perniagaan yang diceburi SDBHD bukan sahaja mampu memperkukuh kedudukan kewangan syarikat, tetapi turut selari dengan aspirasi pembangunan Sabah.
Pendekatan itu juga penting bagi memastikan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri terus memainkan peranan berkesan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi pulangan kepada negeri.



