HomeUtamaIDS, KAS pacu dialog pengurusan sisa di Sabah

IDS, KAS pacu dialog pengurusan sisa di Sabah

Read Time:2 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) dengan kerjasama Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) Malaysia akan menganjurkan seminar dan Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bertajuk “Trash Talk to Action: Understanding Sabah’s Changing Waste Management Landscape” pada 21 September ini.

Program yang berlangsung di Le Méridien Kota Kinabalu itu merupakan siri pertama dalam program libat urus dasar lebih luas bagi membina pemahaman bersama mengenai landskap pengurusan sisa di Sabah.

Ia menghimpunkan wakil agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, ahli akademik, pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil, komuniti serta rakan pembangunan untuk membincangkan isu, cabaran dan realiti pengurusan sisa di negeri ini.

Perbincangan akan memberi tumpuan kepada situasi semasa, trend baharu serta perbezaan cabaran pengurusan sisa antara daerah dan komuniti di Sabah.

Beberapa pembentangan turut dijadualkan meliputi perubahan landskap pengurusan alam sekitar Sabah, pengurusan sisa di peringkat tempatan, pengurusan sisa mampan bagi komuniti kepulauan, pengurusan sisa di kawasan luar bandar serta perspektif komuniti terhadap cabaran sebenar di lapangan.

Antara komponen utama program ialah FGD bertajuk “One State, Different Waste Realities” yang memberi tumpuan kepada perbezaan keadaan pengurusan sisa antara daerah dan komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, berkata perbincangan itu bertujuan mewujudkan asas pengetahuan dan pemahaman bersama sebelum perbincangan diperluaskan kepada aspek tadbir urus, penyelarasan institusi serta pelaksanaan jangka panjang.

“Pengurusan sisa adalah tanggungjawab bersama. Ia bukan sahaja melibatkan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, malah komuniti, sektor perniagaan, masyarakat sivil serta setiap individu.

“Dengan menghimpunkan pelbagai perspektif ini, kita berharap dapat memahami dengan lebih baik realiti sebenar di lapangan dan mengenal pasti ruang serta peluang untuk memperkukuh pendekatan Sabah terhadap pengurusan sisa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, setiap daerah di Sabah berdepan keadaan berbeza, termasuk dari aspek geografi, infrastruktur, keupayaan institusi serta akses kepada perkhidmatan pengurusan sisa.

FGD berkenaan akan meneroka bagaimana faktor tersebut mempengaruhi pengurusan sisa di peringkat tempatan serta bagaimana pengalaman di lapangan boleh menyumbang kepada perancangan dasar dan institusi yang lebih menyeluruh.

Sesi perbincangan terbuka turut diadakan bagi menggalakkan perkongsian pandangan merentas sektor serta mengenal pasti isu yang memerlukan perbincangan dan kerjasama lanjut.

Inisiatif Trash Talk to Action itu bertujuan menyokong perbincangan dasar pengurusan sisa yang lebih berasaskan maklumat dan pemahaman menyeluruh, dengan mengambil kira pengetahuan sedia ada, inisiatif yang sedang dilaksanakan serta trend baharu.

Bagi IDS, inisiatif berkenaan selaras dengan peranannya sebagai badan pemikir kerajaan dalam menyokong proses membuat keputusan dan pembangunan dasar Sabah berasaskan penyelidikan.

Kerjasama dengan KAS Malaysia pula menyediakan ruang untuk pertukaran pengetahuan serta penglibatan lebih luas pihak berkepentingan dalam isu tadbir urus alam sekitar dan pembangunan mampan.

Program itu akan diakhiri dengan rumusan pemerhatian utama serta bidang yang memerlukan libat urus berterusan, manakala hasil perbincangan dijangka menjadi asas kepada aktiviti susulan di bawah program libat urus dasar yang lebih menyeluruh.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Sophia Hong di 013-890 6666 atau 088-450500.

RELATED ARTICLES
Utama

Warga Itali didenda RM500 langgar syarat pas lawatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular