KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang,73,meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan di sini, tengah hari tadi.
Berita pemergian Allahyarham, itu turut dikongsikan beberapa kenalan dan tokoh politik menerusi media sosial yang menyampaikan ucapan takziah serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Perkara itu turut disahkan bekas ADUN Pantai Manis yang juga bekas Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar.
“Dengan penuh dukacita dimaklumkan Datuk Karim Bujang telah kembali ke rahmatullah di rumah beliau di Kampung Sipanggil, Putatan.
“Makluman lanjut akan dimaklumkan. Marilah kita berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Pemergian Karim turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, yang menyifatkan Allahyarham sebagai antara individu yang banyak membimbing perjalanan awalnya dalam politik.
Mohamad dalam perkongsian di Facebook berkata, beliau mempunyai banyak pengalaman bersama Allahyarham, termasuk ketika kedua-duanya terlibat dalam politik di kawasan Kimanis.
Katanya, sebelum berkecimpung dalam politik, beliau pernah menjadi Peguam Pengiring kepada Karim ketika proses penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri 2004, ketika Allahyarham bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Bongawan.
“Allahyarham juga antara pemimpin yang membimbing saya dan membawa saya masuk dalam sistem politik UMNO Bahagian Kimanis. Waktu itu Allahyarham adalah Ketua Bahagian Penaja UMNO Kimanis.
“Perjalanan politik saya menerusi Pemuda UMNO Kimanis banyak didorong oleh Allahyarham,” katanya.
Karim merupakan tokoh politik berpengalaman di Sabah yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal, dari 1990 hingga 2013.
Beliau memulakan perjalanan politik menerusi USNO sebelum bersama UMNO Sabah selepas perkembangan politik yang membawa kepada penubuhan UMNO di Sabah.
Sepanjang tempoh sebagai wakil rakyat, Karim turut diberi tanggungjawab dalam pentadbiran negeri sebagai Pembantu Menteri, termasuk portfolio berkaitan pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar.
Selepas tidak lagi mempertahankan kerusi Bongawan pada 2013, Karim kembali menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila bertanding di kerusi Parlimen Kimanis atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN).



