HomeUtamaKonvoi Motor Hari Sabah, Hari Kebangsaan perkukuh kesedaran antidadah di Ranau

Konvoi Motor Hari Sabah, Hari Kebangsaan perkukuh kesedaran antidadah di Ranau

Read Time:2 Minute, 8 Second

RANAU: Konvoi Motor Sempena Hari Sabah dan Hari Kebangsaan 2026 yang disertai 25 motosikal dalam kalangan belia Ranau menjadi platform untuk mendekati masyarakat serta memperkukuh kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

Program anjuran Skuad Antidadah Ranau itu turut memberi peluang kepada peserta menyantuni komuniti di beberapa lokasi sekitar Ranau dan Kundasang, selain menyampaikan mesej pencegahan penyalahgunaan dadah.

Pengerusi Skuad Antidadah Ranau, Mohd Syukri Saridih berkata, konvoi berkenaan bukan sekadar aktiviti permotoran, sebaliknya membawa misi mendekati masyarakat dan menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti yang sihat serta bermanfaat.

Katanya, majlis pelepasan konvoi disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan Datuk Rusdin Riman bersama Pengerusi Persatuan Wanita Anggun Prihatin Ranau, Jalisa Nasiri, di kawasan parkir hadapan KFC Ranau.

“Konvoi ini bukan sekadar perjalanan dari satu lokasi ke satu lokasi, tetapi menjadi medium untuk mendekati masyarakat, menyantuni komuniti dan menyampaikan mesej kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

“Pada masa sama, ia turut membuka ruang untuk menambah keahlian Skuad Antidadah Ranau, khususnya dalam kalangan belia,” katanya.

Menurut Mohd Syukri, rombongan konvoi mengunjungi beberapa komuniti dan lokasi sepanjang perjalanan, termasuk Rumah Komuniti AADK Kampung Kinapulidan, Kampung Lipasu, Kampung Kibbas, Kampung Tambiau, Kampung Waang dan Kampung Mohimboyon.

Rombongan turut meneruskan perjalanan ke Kampung Dumpiring Bawah dan Pekan Kundasang, sebelum mengunjungi Don Bosco Children’s Home di Kampung Bundu Tuhan.

Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Kampung Karanaan serta Kampung Randagong Lama dan Kampung Mindohuon.

Mohd Syukri berkata, penglibatan belia dalam program sedemikian penting bagi menyediakan ruang kepada golongan berkenaan untuk terbabit dalam aktiviti positif, selain memainkan peranan sebagai penyampai mesej pencegahan dadah dalam komuniti.

“Golongan belia bukan sekadar penerima masa depan, tetapi mereka juga sebahagian daripada pembentuk masa depan.

“Justeru, belia perlu diberikan ruang untuk bergerak dalam aktiviti yang sihat, positif dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, sambutan Hari Sabah dan Hari Kebangsaan turut dijadikan kesempatan untuk membawa mesej bahawa kemerdekaan perlu disertai usaha membebaskan masyarakat daripada ancaman penyalahgunaan dadah.

“Merdeka yang sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi merdeka yang sebenar adalah apabila kita bebas daripada belenggu dadah.

“Kita mahu anak-anak muda kita bebas mengejar cita-cita, keluarga bebas daripada kesan buruk dadah dan masyarakat hidup dalam persekitaran yang selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Syukri berkata, usaha membentuk komuniti bebas dadah memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk keluarga, belia dan masyarakat.

Katanya, usaha pencegahan tidak seharusnya hanya dipikul oleh Skuad Antidadah, sebaliknya memerlukan penglibatan bersama bagi mewujudkan komuniti yang lebih prihatin dan selamat.

“Perjuangan ini bukan milik Skuad Antidadah sahaja. Ia adalah perjuangan kita bersama.

“Bersama keluarga, bersama belia dan bersama masyarakat, kita boleh memperkukuh usaha membina komuniti yang bebas daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Bekas ADUN Bongawan Datuk Karim Bujang meninggal dunia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular