TUARAN : Tindakan pantas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah membawa kepada penemuan dan penyitaan sebuah Perodua Viva berwarna hitam selepas kenderaan itu dipercayai ingkar arahan berhenti dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar Kota Kinabalu, pada 19 September.
JPJ Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, kenderaan terbabit berjaya dikesan di sebuah rumah di Tuaran pada hari sama sebelum disita oleh Bahagian Penguatkuasa JPJ Sabah untuk tindakan lanjut.
Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan berkenaan mendapati ia mempunyai beberapa kesalahan berkaitan peraturan jalan raya.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan pemandu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL).
Pemeriksaan turut mendapati kesalahan gagal berhenti apabila diarahkan pegawai penguat kuasa selain memandu secara melulu dan membahayakan.
Susulan itu, JPJ Sabah mengeluarkan notis JPJ(P)22 bagi saman dan JPJ 64(1) bagi tindakan sita terhadap kenderaan berkenaan.
JPJ Negeri Sabah menegaskan bahawa setiap arahan berhenti daripada pegawai penguat kuasa wajib dipatuhi.
Menurut JPJ Sabah, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang ingkar arahan penguat kuasa serta melakukan kesalahan di bawah undang-undang jalan raya.
Pengguna jalan raya turut diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pegawai penguat kuasa dan memastikan semua dokumen berkaitan kenderaan serta lesen memandu adalah sah.SABAH MEDIA



