KOTA KINABALU: Lima kawasan di Pantai Barat Sabah termasuk Kota Kinabalu dilaporkan mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 10 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, kawasan terbabit ialah Papar, Penampang, Putatan, Tuaran dan Kota Kinabalu.
Selain Pantai Barat, cuaca sama turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan Pedalaman iaitu Kuala Penyu, Beaufort, Membakut, Pensiangan, Sipitang dan Tenom.
Di bahagian Tawau pula, kawasan yang terlibat ialah Kalabakan dan Tawau.
Amaran itu turut melibatkan beberapa kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Port Dickson di Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Labuan.
METMalaysia menjelaskan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
Jabatan itu turut memaklumkan amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Sehubungan itu, orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap keadaan cuaca, terutama ketika melakukan aktiviti luar atau berada di kawasan yang terdedah kepada hujan lebat dan angin kencang.



