BERNAMA
BAU: Peruntukan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak wajar ditambah atau sekurang-kurangnya dikekalkan dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan keperluan pembangunan kedua-dua wilayah itu terus diberi perhatian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata peruntukan yang adil dan saksama diperlukan memandangkan masih banyak infrastruktur asas serta kemudahan awam di kedua-dua negeri berkenaan perlu dinaik taraf.
“Kalau kita lihat tahun lepas, kedua-dua negeri ini mendapat dana pembangunan yang tertinggi. Jadi kita harap, mewakili suara rakyat Borneo ini, kami memohon supaya dana pembangunan ini kekal atau dinaikkan.
“Ini kerana masih banyak sekolah daif dan kemudahan awam yang memerlukan penambahbaikan. Tadi pun saya melawat beberapa pejabat dan pondok polis di Sematan, malah masih ada pondok polis diperbuat daripada kayu yang sudah berusia 69 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin, di sini, semalam.
Dalam Belanjawan 2026, Sabah menerima peruntukan pembangunan RM6.9 bilion, manakala Sarawak RM6 bilion, menjadikan kedua-duanya antara negeri yang menerima peruntukan pembangunan tertinggi.
Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini. – BERNAMA



