Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang bekas pengarah hospital di Sabah diperintah Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) membayar pampasan RM10,000 kepada seorang wanita berhubung kes gangguan seksual.
Peguam Joan Goh yang mewakili doktor berkenaan berkata, TAGS turut memerintahkan anak guamnya memohon maaf kepada wanita terbabit.
Menurutnya, pampasan itu perlu dibayar terus kepada wanita berkenaan melalui pindahan bank dalam tempoh 30 hari dari tarikh award pada 18 September lalu.
Selain itu, anak guamnya turut diperintahkan membuat permohonan maaf melalui e-mel kepada wanita berkenaan menerusi alamat e-mel TAGS.
Sementara itu, Joan dalam satu kenyataan berkata, anak guamnya sudah mengarahkan pasukan guaman memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan TAGS melalui semakan kehakiman.
Katanya, mereka turut akan memohon penangguhan pelaksanaan award sementara menunggu keputusan cabaran berkenaan.
Joan berkata, responden berpendirian bahawa keputusan itu tidak dapat dipertahankan dari segi undang-undang dan membangkitkan isu serius yang memerlukan pertimbangan Mahkamah Tinggi.
Antaranya sama ada tribunal mengambil kira pertimbangan dan keterangan yang tidak relevan dalam membuat dapatan, serta sama ada keperluan statutori bagi suatu dapatan gangguan seksual telah dipertimbangkan dan diguna pakai dengan sewajarnya.
“Responden menghormati tribunal dan proses undang-undang. Bagaimanapun, keputusan tribunal bukan pengakhiran proses perundangan dan responden berhak menggunakan remedi yang tersedia kepadanya di sisi undang-undang.
“Memandangkan perkara ini akan dibawa ke Mahkamah Tinggi, adalah tidak wajar untuk memperdebatkan keterangan secara terperinci melalui media,” katanya.
Joan berkata, responden akan membiarkan proses kehakiman berjalan mengikut salurannya.
Pada Ogos lalu, doktor berkenaan digugurkan daripada jawatannya sebagai pengarah hospital susulan laporan polis yang dibuat wanita terbabit, yang juga rakan sekerjanya, berhubung dakwaan gangguan seksual di tempat kerja.
Dia kemudian ditugaskan semula sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Negeri sementara menunggu tindakan lanjut selepas Kementerian Kesihatan menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan itu.



