PAPAR: Projek melabuh 90 unit tukun tiruan dilaksanakan di perairan Papar di sini, hari ini bagi memperkaya sumber perikanan dan membantu meningkatkan hasil tangkapan komuniti nelayan setempat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata projek berkenaan antara perkara yang pernah dikemukakan dan disusulinya bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Perikanan Sabah.
Katanya, beliau telah mengemukakan surat kepada Menteri KPKM bertarikh 21 Januari 2026 bagi memohon pertimbangan peruntukan untuk pelaksanaan projek Modul Ladang Ikan di Laut (LIDL), yang lebih dikenali sebagai tukun tiruan atau unjam dalam kalangan komuniti nelayan.
“Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Sabah, projek tukun tiruan terakhir di kawasan perairan Papar dilaksanakan pada 2010, melibatkan 18 unit tukun dan komuniti nelayan di lima kampung.
“Selepas lebih 15 tahun, terdapat kemungkinan besar tukun tersebut telah tenggelam atau tertimbus dan tidak lagi berfungsi secara optimum. Keadaan ini turut saya bangkitkan dalam surat permohonan bagi pelaksanaan projek tukun baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata 90 unit tukun tiruan kini telah dilabuhkan di sepanjang perairan Papar, berhampiran kawasan pesisir beberapa kampung termasuk Kampung Kuala, Kampung Pengalat Besar dan Kampung Beringgis.
Menurutnya, kemudahan berkenaan boleh dimanfaatkan komuniti nelayan dari kampung-kampung sekitar.
“Pelbagai jenis tukun tiruan disediakan mengikut kesesuaian sumber marin, merangkumi tukun ikan, sotong dan udang kara.
“Selain menyediakan habitat serta kawasan pembiakan hidupan laut, inisiatif ini diharapkan dapat mewujudkan kawasan tangkapan yang lebih produktif untuk manfaat nelayan setempat,” katanya.
Armizan turut merakamkan penghargaan kepada LKIM atas perhatian dan pelaksanaan projek berkenaan di perairan Papar.
Beliau berkata projek itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada komuniti nelayan setempat serta menyumbang kepada kelestarian sumber laut untuk jangka panjang.
Bagaimanapun, Armizan tidak dapat menghadiri program melabuh Modul LIDL itu kerana berada di Putrajaya atas urusan rasmi dan beliau diwakili Setiausaha Sulitnya, Datuk Roslie Ibrahim.



