KOTA KINABALU: Warisan budaya perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi baharu bagi memastikan identiti masyarakat peribumi Sabah tidak hilang ditelan arus kemodenan.
Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah, Datuk Japlin Akim berkata, kepesatan pembangunan dan perkembangan dunia digital tidak seharusnya menyebabkan generasi muda semakin jauh daripada akar budaya, adat resam dan jati diri mereka.
“Kita boleh mengejar pembangunan dan kemajuan, tetapi jangan sampai kehilangan identiti sendiri. Budaya melambangkan siapa kita dan dari mana asal kita.
“Generasi muda perlu menjadi pewaris dan penjaga budaya, manakala teknologi harus dimanfaatkan untuk memperkenalkan warisan kita kepada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri perasmian Borneo Cultural & Heritage Corner sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 (PBAKK 2026) di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan.
Japlin berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat Borneo, selain menggalakkan usaha merekod dan mendokumentasikan khazanah berkenaan untuk generasi akan datang.
Katanya, masyarakat Bajau Samah turut mempunyai khazanah budaya yang bernilai dan perlu terus dipelihara serta diketengahkan sebagai sebahagian daripada kekayaan budaya Sabah.
“Kepelbagaian budaya bukan pemisah, tetapi kekuatan kita. Pembangunan boleh mengubah wajah negeri dan teknologi mengubah cara hidup, tetapi warisan dan budaya menentukan siapa kita,” katanya.



