Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Borneo Cultural and Heritage Corner (BCHC) membawa kelainan kepada penganjuran pesta buku dengan mengetengahkan konsep warisan dan budaya secara khusus sebagai sebahagian daripada acara berkenaan.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, idea mewujudkan BCHC pada Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2026 merupakan satu inisiatif yang baik dan segar.
“Boleh dikatakan bahawa belum ada lagi mana-mana pesta buku sebelum ini yang menampilkan konsep warisan dan budaya secara khusus di dalam acara mereka.
“Oleh itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Penerbit UMS selaku penganjur utama PBAKK 2026 atas usaha dan kejayaan membawa kelainan ini,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Datuk Dr Rossita Shapawi pada Majlis Perasmian BCHC sempena PBAKK 2026 di SICC, di sini, hari ini.
Kasim berkata, budaya dan warisan Borneo mempunyai pertalian erat dengan buku kerana di dalamnya tersimpan pelbagai ilmu, pemikiran, pengalaman dan sejarah masyarakat.
Katanya, menerusi buku juga warisan kebudayaan, bahasa dan tradisi etnik di Borneo dapat didokumentasikan, dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.
“Buku menjadi jambatan yang menghubungkan khazanah silam dengan generasi masa kini dan akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap BCHC dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi salah satu acara wajib dalam siri pesta buku seterusnya.

Menurutnya, penganjuran BCHC turut mendapat sokongan menerusi kerjasama strategik antara universiti dan beberapa organisasi termasuk Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Kadazandusun Language Foundation (KLF), Jabatan Muzium Sabah, Persatuan Rumpun Bajau Samah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
Katanya, jalinan sinergi itu membuktikan kesatuan dalam memartabatkan budaya tempatan, manakala kolaborasi berkenaan wajar diteruskan bagi melonjakkan pembangunan khazanah negeri seiring aspirasi Sabah Maju Jaya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KDCA atas sokongan dan tajaan yang merealisasikan kewujudan BCHC pada penganjuran kali ini.
“Tanpa sumbangan dan sokongan padu daripada pihak KDCA, hasrat untuk mewujudkan sudut warisan dan budaya yang penuh bermakna ini pastinya sukar untuk dijayakan,” katanya.
Kasim berharap BCHC akan terus berkembang sebagai platform pertemuan ilmu dan kebudayaan, selain membantu mendidik masyarakat supaya lebih menghargai warisan bangsa menerusi pembudayaan ilmu dan buku.
Majlis perasmian BCHC disempurnakan oleh Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Joseph Pairin Kitingan.
Pada majlis sama, Pairin turut melancarkan 25 tajuk buku kanak-kanak dalam Bahasa Kadazandusun.
Buku berkenaan merupakan hasil kerjasama Jabatan Bahasa Kadazandusun IPG Kampus Kent, Tuaran dan KLF, dengan penglibatan pelajar PISMP Bahasa Kadazandusun serta penterjemah Kadazandusun.



