Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang meneliti kemungkinan mengintegrasikan pendekatan baharu dalam sistem pengurusan sampah, termasuk di kawasan petempatan atas air.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, langkah itu bertujuan memastikan sisa yang dihasilkan dapat diurus dengan lebih teratur dan tidak dilepaskan ke persekitaran.

Menurutnya, aspek pengurusan sisa perlu diberi perhatian secara menyeluruh, termasuk di kawasan petempatan yang mempunyai cabaran tersendiri dari segi pengumpulan dan pelupusan sampah.
“DBKK juga sedang melihat kemungkinan untuk mengintegrasikan pendekatan baharu dalam sistem pengurusan sampah, termasuk di kawasan petempatan atas air.
“Ini adalah bagi memastikan sisa yang dihasilkan dapat diurus dengan lebih teratur dan tidak dilepaskan ke persekitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr Lifred Wong pada Majlis Perasmian Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Seluruh Negara Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu sempena World Cleanup Day 2026 di Perdana Park, di sini, pada Sabtu.
Sabin berkata, DBKK turut meneliti bagaimana pendekatan serta mekanisme pembelian barangan kitar semula yang sedang dilaksanakan dapat ditambah baik supaya lebih berkesan dalam mengurangkan jumlah sisa yang berakhir sebagai sampah.
Katanya, pendekatan pengurusan sisa yang lebih menyeluruh penting bagi memastikan usaha menangani masalah sampah tidak hanya tertumpu kepada kerja pembersihan selepas sisa dibuang.

“Kita juga perlu mengurangkan, mengumpul dan mengurus sisa dengan lebih teratur dari peringkat awal,” katanya.
Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan DBKK ialah Pembelian Barangan Kitar Semula secara pandu lalu, termasuk pembelian botol plastik, minyak masak terpakai serta pengumpulan sisa elektrik dan elektronik isi rumah atau e-waste.
Selain itu, katanya, aktiviti “Kayuh dan Kutip” turut dilaksanakan sebagai sebahagian usaha menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pengurusan sisa dan kebersihan persekitaran.
Sabin berkata, program pembersihan yang dianjurkan turut merangkumi pembersihan kawasan awam, parit dan bahu jalan, tapak penjaja serta pantai, selain aktiviti pengutipan sampah terapung dan gotong-royong bersama penduduk setempat.
Beliau berkata, penglibatan masyarakat amat penting dalam memastikan usaha menjaga kebersihan bandar dapat dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya bergantung kepada tindakan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, pendekatan pengurusan sisa dari peringkat awal, termasuk pengurangan, pengumpulan, kitar semula dan pelupusan yang teratur, perlu diperkasakan bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih bersih dan lestari. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK



